Bank lanjutkan tawaran moratorium bersasar - Utusan Malaysia

Bank lanjutkan tawaran moratorium bersasar

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Industri perbankan bersedia membantu pelanggan dengan melanjutkan bantuan pembayaran termasuk moratorium bersasar sedia ada kepada individu yang terkesan ekoran pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di beberapa negeri sehingga 26 Januari ini.

Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) dan Persatuan Institusi Kewangan dan Perbankan Islam (AIBIM) dalam kenya­taan bersama memberitahu, lanjutan itu terpakai kepada semua penerima skim Bantuan Pembayaran Semula Bersasar yang diumumkan sebelum ini.

Menurutnya, semua peminjam pada tahun 2020 atau 2021 boleh memohon bantuan pembayaran untuk tempoh tiga bulan pada bila-bila masa pada atau sebelum 30 Jun 2021.

ABM dan AIBIM berkata, bagi individu yang masih be­kerja tetapi mengalami pengurangan pendapatan disebabkan Covid-19 boleh memohon meng­urangkan pembayaran balik sejajar dengan pengurangan pendapatan.

“Bagi golongan isi rumah berpendapatan sederhana (M40) yang merupakan penerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN), institusi perbankan telah bersetuju untuk membenarkan proses pengisytiharan kendiri.

“Individu dalam kategori isi rumah berpendapatan rendah (B40) pula yang mendaftar dalam pangkalan data Bantuan Sara Hidup (BSH) atau Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) boleh memohon sama ada penangguhan ansuran selama tiga bulan atau mengurangkan ansuran sebanyak 50 peratus selama enam bulan,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Perusahaan mikro dengan pinjaman atau pembiayaan jumlah kemudahan asal sehingga RM150,000 pula boleh meminta penangguhan ansuran tiga bulan atau mengurangkan bayaran ansuran sebanyak 50 peratus bagi tempoh enam bulan.

ABM dan AIBIM menjelaskan, bantuan bayaran balik bagi B40, M40 dan perusahaan mikro itu tersedia bagi pembiayaan yang diluluskan sebelum 1 Oktober 2020 dan tidak tertunggak lebih 90 hari pada tarikh permohonan bantuan pembayaran balik dihantar kepada bank masing-masing.

Persatuan itu turut mengalu-alukan peminjam yang menghadapi kesukaran me­lakukan pembayaran semula pembiayaan untuk menghubungi bank masing-masing bagi membincangkan pakej bantuan pembayaran balik yang sesuai dengan keadaan mereka.

“Lebih daripada 1.3 juta permohonan bantuan pembayaran balik telah diterima dengan kadar kelulusan sebanyak 95 peratus setakat 31 Disember lalu.

“Memandangkan tempoh mencabar ketika ini, industri perbankan menggalakkan pe­langgan dengan aturan bantuan pembayaran sedia ada yang berdepan kesukaran meneruskan jadual ansuran biasa mereka untuk menghubungi pihak bank untuk mendapatkan bantuan pembayaran lebih lanjut.

“Penerimaan bantuan pembayaran balik dalam tempoh ini tidak akan tertera dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) peminjam,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya