KUALA LUMPUR: Hong Leong Bank Berhad dan OCBC Bank (Malaysia) Berhad dan menjadi institusi perbankan terbaharu menawarkan penangguhan pembiayaan kepada pelanggannya yang terkesan akibat banjir.
Dalam kenyataan, Hong Leong Bank dan Hong Leong Islamic Bank menyatakan keprihatinan apabila memperkenalkan program bantuan banjir yang menawarkan moratorium pembayaran sehingga enam bulan untuk semua kemudahan pinjaman dan perbankan Islam termasuk kad kredit.
Menurut Hong Leong Bank, pembiayaan tambahan juga disediakan bagi PKS dan pelanggan komersial sedia ada yang memerlukan modal kerja untuk memudahkan pemulihan perniagaan mereka ekoran bencana banjir baru-baru ini.
Pengarah urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Hong Leong Bank, Domenic Fuda berkata, pelanggan terjejas yang telah menerima bantuan di bawah Pelan Bantuan Pembiayaan Bank (PRAP) di samping pelanggan di bawah Bantuan Pembayaran Semula untuk golongan B40,M40 dan syarikat mikro COvid-19 juga layak memohon bantuan banjir.
“Hong Leong Bank juga menawarkan penggantian percuma dokumen berkaitan bank seperti kad debit dan kredit, cek dan penyata bank yang rosak atau hilang dalam banjir,” katanya.
Sementara itu, OCBC Bank dan OCBC Al-Amin Bank Berhad berkata, pelanggan korporat, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta individu terjejas banjir melanda Kelantan, Pahang, Terengganu dan Johor boleh menangguhkan atau menyusun semula pinjaman menerusi saluran khas bank tersebut.
Katanya, pelanggan perbankan peribadi dan PKS boleh mendapatkan sokongan menerusi penangguhan bayaran ansuran selama tiga bulan atau pengurangan jumlah ansuran untuk tempoh 12 bulan.
Menurut OCBC Bank, pelanggan perbankan peribadi boleh memohon menerusi talian khas OCBC di 03-83175011 pada waktu pejabat atau menghantar e-mel ke [email protected] mulai Isnin, 18 Januari ini.
Affin Bank Berhad AFFIN BANK dan Affin Islamic Bank Berhad turut menawarkan bantuan moratorium sehingga enam bulan di bawah Program Bantuan Kewangan dan Bantuan Ansuran (FAIR) kepada pelanggan yang terjejas.
Kumpulan AFFIN juga akan menyumbang sejumlah RM500,000 untuk pelbagai inisiatif berkaitan kemanusiaan dan perubatan Kerajaan untuk membantu mangsa-mangsa banjir. – UTUSAN