BEIJING: Industri minyak sawit bakal berdepan ketidaktentuan pada masa hadapan selepas negara pengimport utama komoditi itu, China dilapor meningkatkan pembelian kacang soya bagi memacu perkembangan industri ternakan babi di negara berkenaan.
China, negara pengeluar dan pengguna daging babi terbesar dunia, sedang meningkatkan pembelian kacang soya dan jagung untuk makanan ternakan terbabit yang kembali pulih selepas dilanda virus Afrika.
Penggunaan kacang soya dan jagung bukan sahaja sebagai makanan ternakan, tetapi juga untuk minyak sekali gus menjadikannya pesaing utama kepada industri makanan dan biodiesel.
Peningkatan bekalan bijirin itu sekali gus mengancam pembelian minyak sawit oleh China selepas negara itu berdepan perang dagangan dengan Amerika Syarikat yang mengehadkan pembelian kacang soya dari negara berkenaan sebelum ini.
“Lebihan bekalan kacang soya akan menggantikan import minyak sawit dan minyak boleh dimakan lain,” kata penganalisis di China Futures Co., Shi Lihong.
Beliau berkata, pemulihan dalam industri ternakan babi akan meningkatkan permintaan terhadap kacang soya antara lapan hingga 10 peratus.
Keadaan itu katanya, akan mengurangkan import minyak sawit oleh China dalam tempoh tiga tahun pada 2020 hingga 2021.
Minyak sawit juga dilaporkan lebih mahal berbanding minyak kacang soya di pasaran global.
Penanda aras niaga hadapan minyak sawit meningkat dua kali ganda daripada paras rendah pada Mei untuk mencapai paras tertinggi 10 tahun bulan ini, berikutan penyusutan bekalan dari Malaysia, negara pengeluar kedua terbesar komoditi itu.
Minyak kacang soya pula hanya merekodkan peningkatan sebanyak 70 peratus dalam tempoh berkenaan.
Perbezaan harga itu dikatakan akan mengurangkan import minyak sawit dari China kepada antara 400,000 hingga 500,000 tan metrik sebulan pada suku pertama daripada 650,000 hingga 750,000 tan metrik pada Oktober hingga Disember lalu, menurut data Pusat Maklumat Gandum dan Minyak China.
Pembelian dijangka berkurangan sebanyak 8.8 peratus kepada 6.2 juta tan metrik pada 2020 hingga 2021, katanya. – AGENSI