Ageson bangun projek RM1.24 bilion - Utusan Malaysia

Ageson bangun projek RM1.24 bilion

Projek pembangunan bercampur yang akan dibangunkan Ageson, bakal mengubah wajah daerah Batang Padang, Perak. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ageson Berhad (Ageson) melalui anak syarikatnya, Ageson Holdings Sdn. Bhd. (AHSB) berjaya memeterai perjanjian hak pembangunan (DRA) dengan Menteri Besar Incorporated (MBI) Perak untuk membangunkan tanah berkeluasan kira-kira 192.23 hektar di Batang Padang, Perak.

Menurut Ageson, DRA tersebut melibatkan projek pembangunan campuran merangkumi unit agensi kerajaan dan pentadbiran, industri, komersial dan pembangunan kediaman.

Nilai pembangunan kasar projek itu dianggarkan RM1.24 bilion.

Pengarah Eksekutif Ageson, Datuk Seri Chin Kok Foong berkata, DRA tersebut memberikan hak pembangunan tanah itu kepada Ageson tanpa menambah apa-apa beban kepada aliran tunai sedia ada syarikat.

“Ia bukan sahaja memberikan kami potensi hasil untuk beberapa tahun akan datang tetapi turut mengembangkan asas pendapatan melalui pembangunan ruang industri built-to-suit.

“Kami memanfaatkan permintaan kukuh untuk hartanah industri,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurut beliau, sebagai pemaju utama, pengurusan Ageson sedang menilai pelbagai pilihan untuk membangunkan tanah tersebut, termasuk mencari rakan kongsi atau memajukannya sendiri secara beransur-ansur.

“Kami telah menerima respons memberangsangkan daripada beberapa pelabur berpotensi yang mahu meletakkan loji pembuatan dan ibu pejabatnya di Perak berikutan polisi mesra pelabur kerajaan negeri.

“Sasaran kami menjelang 2022, sebahagian besar pendapatan kami akan datang dari aliran pendapatan yang dipacu kepakaran kami dalam teknologi bangunan jimat kos seperti Model Maklumat Bangunan (BIM) dalam cadangan pembangunan ini,” katanya.

Projek dengan kos pembangunan kasar (GDC) sebanyak RM879.9 juta itu dijangka bermula pada suku pertama 2022 dengan jangkaan selesai dalam tempoh 15 tahun selepas tarikh mula. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya