4.8j mohon i-Sinar, RM25b dilulus - Utusan Malaysia

4.8j mohon i-Sinar, RM25b dilulus

Kemudahan i-Sayang bertujuan meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah menerima 4.8 juta permohonan di bawah Kategori 1 bagi program i-Sinar setakat Selasa lalu.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, daripada jumlah berkenaan, sebanyak 3.18 juta permohonan bernilai RM25.3 bilion telah diluluskan.

Menurut Tengku Zafrul, ahli-ahli yang lulus telah mula me­nerima jumlah keseluruhan RM13 bilion bermula bulan ini dengan baki permohonan sedang diproses KWSP.

Katanya, bagi menambah baik kemudahan i-Sinar terutama bagi mereka yang menghadapi cabaran akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan bencana banjir, KWSP akan membuat bayaran interim sehingga RM1,000 bagi pemohon i-Sinar Kategori 2 seperti diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Proses pengeluaran i-Sinar Kategori 2 juga dipermudahkan di mana ahli hanya perlu mengisytiharkan secara kendiri bahawa mereka memenuhi kriteria yang ditetapkan dan dokumen sokongan boleh dihantar secara dalam talian dengan semakan akan dibuat kemudian.

“Kerajaan juga telah meminta KWSP memudahkan proses ba­yaran interim ini yang akan di­buat mulai 26 Januari,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Laporan Laksana Ke-37 Pelaksanaan Pakej Rangsa­ngan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin), Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dan Pakej Rangsangan Ekonomi Kita Prihatin (Kita Prihatin), semalam.

Mengulas mengenai Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai), Tengku Zafrul menjelaskan, pakej tersebut merapatkan jurang rakyat kerana bencana banjir teruk dan pelaksanaan PKP hampir seluruh negara.

“Permai membuktikan ko­mitmen kerajaan yang sentiasa mendengar dan tidak berkompromi dalam menyelamatkan nyawa dan memastikan punca rezeki rakyat serta perniagaan terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sentiasa ter­bela.

“Melindungi nyawa rakyat adalah menjadi keutamaan kerajaan ekoran kadar jangkitan harian yang masih tinggi. Justeru, strategi penambahbaikan di bawah Permai digubal daripada pelbagai segi.

“Ia termasuk pelaksanaan Program Imunisasi Kebangsaan bernilai RM3 bilion; pengukuhan sistem kesihatan negara; program pencegahan jangkitan yang diperkukuhkan dan skop pelepasan cukai,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya