Untung bersih SCGM RM9.6 juta - Utusan Malaysia

Untung bersih SCGM RM9.6 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengilang pembungkusan makanan, SCGM Bhd. merekodkan keuntungan bersih sekali ganda lebih tinggi dalam suku kedua berakhir 31 Oktober 2020 pada kadar RM9.6 juta berbanding RM4 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Keuntungan itu berjaya dicapai didorong oleh kadar penggunaan pengeluaran lebih tinggi dan kos pembiayaan rendah.

Pada masa sama, pendapatan syarikat tersebut turut meningkat kepada RM61 juta dalam suku kedua 2021 daripada RM53.5 juta dalam tempoh sama tahun kewangan 2020 berdasarkan pertumbuhan menyeluruh dalam pembungkusan makanan dan minuman (F&B) domestik serta eksport.

Jualan pembungkusan F&B SCGM kekal menjadi pemacu pendapatapan terbesar yang menyumbang RM50.6 juta atau 83 peratus daripada jumlah pendapatan pada suku kedua 2021.

Sementara itu, segmen peralatan pelindung diri (PPE) yang terdiri daripada pembuatan pelitup dan pelindung muka menyumbang tiga peratus sementara selebihnya disumbangkan segmen penyemperitan, elektronik dan elektrik.

Kos kewangan yang ditanggung SCGM dalam suku dikaji turut menurun kepada RM800,000 berbanding RM1.2 juta pada suku sama tahun lalu disebabkan kadar faedah rendah dan pengurangan pinjaman dengan gear bersih Kumpulan berkurangan 0.37 kali pada 31 Oktober 2020 berbanding 0.6 kali setahun yang lalu.

Pengarah Urusan SCGM, Datuk Seri Lee Hock Chai berkata, pelaburan syarikat itu dalam kilang pembuatan bersepadu telah membantunya memperkemas operasi SCGM.

Katanya, usaha berterusan bagi mengautomasikan proses manual juga telah membawa kepada output lebih tinggi dan peningkatan kecekapan.

“Jualan lebih tinggi di Malaysia dan negara eksport utama seperti Australia, Filipina dan New Zealand mendorong kami untuk memperluas perniagaan mengembangkan produk baharu.

“Sebenarnya, Covid-19 telah mendorong kami memperkenalkan inovasi yang meningkatkan keselamatan makanan, memberi jaminan yang lebih baik untuk peniaga, peruncit dan pengguna akhir.

“Kami juga meningkatkan kapasiti pengeluaran segmen PPE kami untuk memenuhi permintaan pelitup muka yang lebih tinggi di rantau ini,” katanya dalam kenyataan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya