KUALA LUMPUR: UEM Sunrise Berhad telah menandatangani perjanjian bernilai RM434.3 juta dengan AME Elite Consortium Berhad (AME) untuk 72 plot industri pegangan bebas di Kawasan Perindustrian Selatan dan Logistics Clusters (SiLC), Iskandar Puteri.
Perjanjian penjualan tanah seluas kira-kira 169.8 ekar itu dikatakan bertujuan untuk menambah baik ekosistem ekonomi serta mewujudkan peluang pekerjaan di Iskandar Puteri.
Perjanjian itu telah ditandatangani oleh Pentagon Land Sdn. Bhd. dan Greenhill SILC Sdn. Bhd.
Ketua Pegawai UEM Sunrise, Anuar Kasim berkata, penjualan itu akan menjadi permulaan kerjasama strategik antara UEM Sunrise, pemilik tanah dan pemaju Iskandar Puteri serta AME yang dikenali sebagai pakar dalam pembinaan besar dan reka bentuk.
“Kami yakin kolaborasi bersama AME itu akan menjadi pemangkin buat pelan pembangunan induk Iskandar Puteri.
“Ia akan memberi kesan positif kepada bandar yang sedang berkembang pesat itu, sekali gus meningkatkan kualiti hidup masyarakat sekitar,” katanya dalam kenyataan semalam.
Beliau memberitahu, perjanjian itu akan mencipta peluang perniagaan dan pekerjaan baharu selain dapat membantu meningkatkan persekitaran ekonomi yang kondusif bagi memacu permintaan hartanah UEM Sunrise di selatan tanah air.
Penjualan itu dijangka akan menyumbang kepada pendapatan Kumpulan UEM Sunrise dalam tempoh tiga hingga empat tahun akan datang.
Kata Anuar, pihaknya sangat gembira kerana dapat mengakhiri tahun 2020 dengan kuat serta menguntungkan kedua-dua pihak.
Antara pembangunan yang pantas di bawah rancangan induk penbangunan Iskandar Puteri ialah aman perindustrian bersepadu, di mana SiLC membentuk komponen penting Fasa 1 dan 2 SiLC telah habis terjual dan kerjasama dengan AME akan membolehkan pelancaran Fasa 3 dilakukan lebih cepat kerana UEM Sunrise akan berurusan dengan pakar taman industri. – UTUSAN