UEM Edgenta taja sepasang zirafah - Utusan Malaysia

UEM Edgenta taja sepasang zirafah

Rosly @ Rahmat Ahmat Lana menyerahkan sijil tajaan sepasang zirafah kepada Syahrunizam Samsudin (kanan) di Zoo Negara, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: UEM Edgenta Berhad (UEM Edgenta) menaja sepasang zirafah sebagai haiwan angkat menerusi program ‘Adopt an Animal’ anjuran Zoo Negara Malaysia.

Menurut UEM Edgenta, inisiatif tanggungjawab korporat syarikat itu bertujuan me­nyalurkan sumbangan kepada kebajikan tahunan zirafah-zirafah tersebut, merangkumi penyediaan bekalan makanan dan penjagaan veterinar.

Katanya, komitmen UEM Edgenta terhadap program itu elaras dengan matlamat syarikat untuk menyokong pihak berkepentingan seperti Zoo Negara yang terkesan akibat penularan wabak Covid-19, melalui aktiviti pembangunan komuniti yang positif dan berimpak tinggi.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM Edgenta, Syahrunizam Samsudin berkata, pihaknya berbangga dapat memainkan peranan sebagai warga korporat yang bertanggungjawab untuk bersama-sama membantu Zoo Negara dengan menaja sepasang zirafah comel, dikenali sebagai ‘Mas Boy’ dan ‘Mas Kira’.

Beliau berakta, inisiatif itu dapat memperluaskan komitmen syarikat dalam usaha ke arah kelestarian, serta mempromosikan amalan persekitaran, sosial dan tadbir urus yang baik (ESG) bersama rakan strategik seperti
Zoo Negara.

“Bagi pihak syarikat dan orang ramai, saya ingin memuji pasukan Zoo Negara atas usaha cemerlang mereka sepanjang tahun yang mencabar ini dan kami berharap agar lebih ba­nyak organisasi dan individu dapat tampil untuk membantu zoo bagi memastikan kesejahteraan dan kebajikan haiwan-haiwan ini,” kata Syahrunizam dalam kenyataan semalam.

Sementara itu, Timbalan Pre­siden Persatuan Zoologi Malaysia, Rosly @ Rahmat Ahmat Lana merakamkan penghargaan kepada UEM Edgenta atas sokongan padu mereka demi kesejahte­raan zirafah dan juga membantu Zoo Negara menerusi program yang berimpak tinggi itu.

“Kami mengalu-alukan lebih banyak sumbangan daripada syarikat korporat dan orang ramai sepanjang tempoh pandemik ini, dan sumbangan tersebut akan terus digunakan untuk menyediakan penjagaan yang sempurna kepada haiwan kami di zoo,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN