Tuntutan faedah pengangguran naik - Utusan Malaysia

Tuntutan faedah pengangguran naik

Peningkatan kes jangkitan Covid-19 di Amerika Syarikat menyebabkan banyak premis perniagaan ditutup sekali gus meningkatkan pengangguran dalam kalangan rakyat negara itu. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Jumlah rakyat Amerika yang mengemukakan tuntutan pertama untuk faedah pengangguran melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh tiga minggu lalu.

Kenaikan tuntutan tersebut berlaku akibat peningkatan jangkitan Covid-19 yang menyebabkan lebih banyak sekatan perniagaan dilaksanakan sehingga menjejaskan pertumbuhan ekonomi.

Laporan tuntutan pengangguran mingguan daripada Jabatan Tenaga Kerja semalam dan data minggu lalu menunjukkan, kenaikan peluang pekerjaan pada November adalah yang terkecil sejak Mei.

Ketua Ekonomi MUFG di New York, Chris Rupkey berkata, pengangguran akan terus membebani pertumbuhan dan permintaan ekonomi.

“Sekiranya Kongres tidak mempunyai apa-apa strategi untuk menyelesaikan masalah ini, kadar pengangguran negara akan semakin teruk setiap jam,” jelasnya.

Tuntutan awal untuk faedah pengangguran negeri mening­kat 137,000 kepada 853,000 orang pada 5 Disember lalu.

Kenaikan tersebut semakin meningkat sejak Mac, apabila negara ini dilanda gelombang pertama jangkitan koronavirus.

Tuntutan yang tidak disela­raskan mencapai 228,982 hingga 947,504 orang minggu lalu. Pakar ekonomi lebih memilih bilangan yang belum diselaraskan kerana sukar bagi mereka untuk menyesuaikan data yang turun naik disebabkan wabak tersebut.

Tuntutan pengangguran men­cecah 6.867 juta pada Mac, melebihi jumlah tertinggi semasa kegawatan ekonomi pada 2007 hingga 2009.

Amerika Syarikat sedang mengalami gelombang baharu jangkitan koronavirus, dengan lebih 15 juta kes dilaporkan baru-baru ini.

Kematian harian akibat Co­vid-19 mencapai 3,253 orang pada Rabu, menjadikan jumlah kematian kepada 289,740 de­ngan 106,219 orang dimasukkan ke hospital.

Perintah kawalan pergerakan yang ketat telah berkuat kuasa di California pada minggu ini.

Negeri lain juga telah mela­kukan sekatan perniagaan de­ngan harapan dapat mengawal jumlah orang yang diberhentikan kerja pada musim sejuk, terutama tanpa bantuan wang dari­pada kerajaan.

Lebih AS$3 trilion (RM12.16 trilion) bantuan pendemik telah diberikan oleh kerajaan bagi membantu berjuta-juta rakyat AS untuk menampung perbelanjaan harian selain membantu syarikat membayar pekerja.
Namun, rangsangan fiskal yang dilakukan itu hampir kehabisan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya