Trafik penumpang udara diunjur melonjak 100% tahun hadapan - Utusan Malaysia

Trafik penumpang udara diunjur melonjak 100% tahun hadapan

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) meramalkan trafik penumpang udara akan kembali pulih tahun hadapan dengan melonjak antara 94.2 hingga 100.3 peratus tahun ke tahun atau 51.7 hingga 53.3 juta ketibaan penumpang tahun hadapan.

Pada masa sama, Mavcom dalam laporan industri edisi kelapannya, Waypoint memberitahu, Suruhanjaya itu telah menyemak semula ramalan trafik penumpang bagi tahun ini dengan meramalkan pengurangan trafik penumpang antara 72.8 hingga 75.7 peratus tahun ke tahun atau pun 26.6 hingga 29.7 juta.

Katanya, trafik penumpang Malaysia menurun ke tahap terendah dalam sejarah penerbangan iaitu sebanyak 97 peratus pada suku kedua tahun ini kepada 802,525 penumpang berbanding 26.7 juta untuk tempoh sama tahun lalu.

Menurut Mavcom, penurunan tersebut adalah disebabkan faktor beban lebih rendah dan tempoh pemulihan kapasiti tempat duduk lebih panjang oleh syarikat-syarikat penerbangan kerana pengurangan penawaran kapasiti tempat duduk.

“Walau bagaimanapun, trafik penumpang pulih sedikit pada suku ketiga di mana terdapat penurunan lebih kecil sebanyak 83.3 peratus tahun ke tahun disebabkan kelonggaran sekatan terhadap perjalanan domestik.

“Bagi tahun hadapan, syarikat-syarikat penerbangan dijangka dapat meningkatkan kapasiti tempat duduk secara beransur-ansur kerana sekatan perjalanan antarabangsa mungkin ditamatkan pada tahun 2021.

“Walau bagaimanapun, ramalan adalah berdasarkan kepada prestasi industri yang bergantung kepada pelbagai faktor luaran termasuk penyelesaian terhadap pandemik Covid-19, langkah-langkah yang diambil untuk penjagaan kesihatan awam dan juga tingkah laku pengguna,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, Pengerusi Eksekutif Mavcom, Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata, syarikat-syarikat penerbangan terpaksa mengambil pelbagai langkah mengatasi masalah akibat Covid-19 untuk kelangsungan perniagaan termasuk pemberhentian dan penstrukturan hutang.

“Memandangkan situasi yang tidak menentu, beberapa kemungkinan yang berpotensi berlaku melibatkan lima syarikat penerbangan tempatan dan kesan perhubungan udara telah dikenal pasti serta dianalisis dan diperincikan dalam laporan Waypoint terbaharu.

“Walaupun prospek sektor ini sangat bergantung kepada kadar pemulihan daripada Covid-19 secara tempatan, serantau dan global, Suruhanjaya berpendapat bahawa industri penerbangan akan berada di perjalanan panjang menuju pemulihan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya