TM ONE, SME Bank jalin kerjasama - Utusan Malaysia

TM ONE, SME Bank jalin kerjasama

Ahmad Taufek Omar dan Aria Putera Ismail (kiri) menunjukkan dokumen kerjasama yang ditandatangani di Kuala Lumpur, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: TM ONE menandatangani memorandum persefahaman dengan SME Bank untuk menawarkan pembiayaan teknologi kepada pelanggan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Kerjasama tersebut adalah untuk Dana Transformasi Teknologi PKS (STTF) yang diwujudkan SME Bank bersama Kementerian Kewangan bagi menawarkan bantuan kewangan sehingga RM3 juta kepada PKS tempatan.

Ia merupakan sebahagian daripada pakej rangsangan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) bagi menyediakan bantuan kewangan kepada PKS untuk mengadaptasi digitalisasi dan automasi dalam operasi perniagaan mereka.

Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif TM ONE, Ahmad Taufek Omar berkata, kerjasama tersebut adalah untuk menyokong usaha kerajaan di bawah Penjana bagi melaksanakan inisiatif-inisiatif utama untuk membantu PKS semasa pandemik Covid-19.

“Matlamat kami adalah untuk membantu PKS dalam mendepani cabaran dan pelbagai masalah perniagaan yang mereka hadapi ketika ini dengan penyelesaian digital yang ada.

“Kami telah menyediakan pasukan dan penyelesaian khusus untuk membolehkan para pelanggan merealisasikan potensi peluang digital mereka sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Ahmad Taufek mewakili TM ONE menandatangani memorandum tersebut bersama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail.

Menurut Aria Putera, STTF dijangka dapat memberi bantuan secara langsung kepada usahawan PKS untuk mencapai tahap penembusan pasaran yang lebih tinggi.

“Setakat 11 November, SME Bank telah meluluskan 18 permohonan bernilai RM36.55 juta di bawah dana STTF ini.

“Peranan SME Bank dalam mendorong PKS untuk mengadaptasi teknologi digital diperkukuh lagi dengan pengenalan ODELA, platform e-dagang sehenti pertama yang disokong oleh Institusi Kewangan Pembangunan (DFI) yang membolehkan usahawan perniagaan ke perniagaan (B2B) melakukan transaksi dan menjalin kerjasama dalam ekosistem yang meluas.

“Pendekatan bank yang menyeluruh dalam menyediakan bantuan kewangan dan pembangunan usahawan meningkatkan lagi nilai serta memacu pembangunan ekonomi digital lantas menjana pertumbuhan ekonomi negara dalam tempoh yang mencabar ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya