KUALA LUMPUR: Acara pameran maya E-Showcase Project Based Learning (PBL) TM Future Skills 2020 anjuran Telekom Malaysia Berhad (TM) berjaya mengumpulkan lebih 6,000 tontonan melalui strim langsung di Youtube.
Acara di bawah program TM Future Skills itu membabitkan 60 orang guru dan pelajar dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Jalan Davidson dan SJKC Tsun Jin.
Menurut Naib Presiden Jenama dan Komunikasi Kumpulan TM, Izlyn Ramli, acara tersebut merupakan satu daripada inisatif tanggungjawab sosial korporat syarikat di bawah cabang pendidikan yang dilaksanakan untuk menyokong sistem pendidikan negara ke arah mempersiapkan warga pendidikan dengan kemahiran Revolusi Industri 4.0 (RI4.0).
“Kami berharap program ini dapat membantu meningkatkan kemahiran masa hadapan pelajar dan meningkatkan minat mereka terhadap mata pelajaran sains teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).
“Ini amat bersesuaian dengan peranan kami sebagai pembangun negara yang bertanggungjawab yang mana kami akan terus memberikan khidmat dan memacu Digital Malaysia melalui penyelesaian digital yang inovatif dan inklusif,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
E-Showcase PBL-TM Future Skills 2020 melibatkan pameran secara maya projek inovasi 3D pelajar yang turut berkongsi pengetahuan dan kemahiran mereka dalam mata pelajaran STEM.
Ia menjadi acara kemuncak bagi program pembelajaran dalam talian selama tiga bulan untuk guru dan pelajar dari kedua-dua sekolah tersebut.
Sepanjang program tersebut, guru dan pelajar telah mempelajari teknologi digital melalui TM 3Ducation, modul percetakan 3D yang akan diguna pakai dalam PBL pelajar tersebut. – UTUSAN