TH beli menara 20 tingkat RM147j - Utusan Malaysia

TH beli menara 20 tingkat RM147j

Zulkifli Mohamed Al-Bakri menyaksikan majlis pertukaran dokumen pembelian menara pejabat antara Hizamuddin Jamalluddin (dua, kiri) dan Hazman Hilmi Sallahuddin di Petaling Jaya, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lembaga Tabung Haji (TH) menandatangan tawaran pembelian menara pejabat 20 tingkat daripada Bukit Damansara Development Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh Johor Corporation (Jcorp.) dengan harga RM147 juta.

Menara VSQ 1 terletak di sini ketika ini berfungsi sebagai ibu pejabat QSR Brands yang mengendalikan rangkaian restoran makanan segera KFC dan Pizza Hut di Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, pelaburan TH dalam pembelian menara tersebut bertujuan memberi nilai tambah dan pulangan balik kepada pendeposit, selain membantu meningkatkan sektor hartanah negara.

“Konsep utama TH ialah memudahkan orang Islam untuk melakukan haji atau umrah, selain untuk tujuan pelaburan.

“Maka, pembelian yang bersifat strategik ini dilakukan dengan harapan dapat menjana dan mengukuhkan lagi kedudukan TH,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis menandatangan tawaran pembelian menara tersebut di sini semalam.

Pada majlis itu, TH diwakili Pengarah Eksekutif Pelaburannya, Hizamuddin Jamalluddin, manakala Bukit Indah Damansara Development diwakili Pengarah Urusan Damansara Asset Sdn. Bhd., Hazman Hilmi Sallahuddin.

Turut hadir, Pengerusi TH, Tan Sri Md. Nor Yusof; Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp., Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim dan Pegarah Divisyen Hartanah dan Infrastruktur JCorp. merangkap Pengarah Damansara Assets, Datuk Sr. Akmal Ahmad.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Nik Mohd. Hasyudeen Yusoff memberitahu, pelaburan terbaharu itu dijangka memberikan pulangan sebanyak 5.5 peratus berdasarkan perjanjian penghunian penuh dan penyewaan jangka panjang bangunan.

“Sebagai pemegang amanah para pendeposit, TH akan terus mencari peluang di dalam membuat pelaburan baharu secara langsung atau tidak langsung bagi menambah portfolio hartanah yang dapat memberikan pendapatan berulang dan stabil, sekali gus memberi pulangan mampan kepada sembilan juta pendeposit TH,” kata beliau.

Nik Mohd. Hasyudeen berkata, jumlah deposit di TH sehingga 30 November lalu ialah sebanyak RM75.60 bilion, antara tertinggi di dalam sejarah.

“Pencapaian ini menunjukkan keyakinan rakyat terhadap kami dan pendeposit yang kekal kukuh walaupun semasa dunia dilanda pandemik,” ujarnya.

Katanya, TH bercadang menambah pelaburannya dalam sektor hartanah pada masa hadapan sejajar dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya