Tempahan luar jangka X50 - Utusan Malaysia

Tempahan luar jangka X50

X50 antara model Proton yang mendapat sambutan tinggi di pasaran.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Proton Edar selesaikan penghantaran menjelang April 2021

KUALA LUMPUR: Tempahan luar jangka serta pandemik Covid-19 yang melanda negara memberi kesan kepada proses pengeluaran dan pengedaran kenderaan baharu Proton.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar Sdn. Bhd., Roslan Abdullah berkata, paling terkesan adalah untuk model X50 yang mendapat tempahan di luar jangkaan sejak tempahan dibuka pada 16 September lalu.

Menurut beliau, terdapat lebih 30,000 tempahan telah dibuat untuk model tersebut dan sehingga kini, kira-kira 3,200 tempahan telah dihantar serta didaftarkan.

“Kami menyasarkan untuk menghantar 4,000 unit menje­lang 31 Disember. Ia konsisten dengan kenyataan saya sebelum ini,” katanya ketika ditemui media di pejabatnya dekat sini, semalam.

Menurut Roslan, pandemik Covid-19 serta Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pelbagai peringkat yang dilaksanakan sejak Mac lalu turut mengganggu proses pengeluaran dan pengedaran kenderaan milik Proton.

Kata beliau, ada antara penjual yang tidak dapat beroperasi dalam kapasiti penuh sekali gus tidak dapat memenuhi tempahan yang dibuat.

“Ia reaksi rantaian bekalan, apabila penjual tidak dapat beri bekalan, kita juga tak dapat penuhi semua tempahan,” kata­nya.

Roslan menjelaskan, dalam keadaan ketika ini, mereka memerlukan masa kira-kira empat bulan untuk menyelesaikan penghantaran unit yang telah ditempah bermula 16 September lalu.

“Untuk tempahan yang baru masuk, mungkin kita perlukan enam hingga lapan bulan. Bagi tempahan yang dibuat sejak September lalu, kami harap dapat selesaikan dalam tempoh empat bulan, sehingga April tahun hadapan,” katanya.

Proton X50 dilancarkan pada 27 Oktober lalu melalui acara maya yang disiarkan secara langsung menerusi media sosial.

Kenderaan utiliti sukan (SUV) kedua Proton itu dipasarkan dalam empat varian dengan julat harga antara RM79,200 hingga RM103,300 seunit.

Sementara itu, menurut Roslan, antara faktor utama pe­ningkatan tempahan kenderaan terutamanya untuk Proton adalah pengecualian cukai jualan yang diberikan kerajaan melalui pakej Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana).

Kementerian Kewangan da­lam kenyataan semalam me­ngumumkan, pe­ngecualian cu­kai jualan untuk kenderaan import dilanjutkan bagi tempoh enam bulan lagi.

Menyedari sebahagian pe­langgan bakal menampung kenaikan harga, Proton Edar akan menghubungi setiap pelanggannya yang terkesan dan berusaha memberikan ganjaran kesetiaan kepada mereka.

“Kami belum boleh memberikan apa-apa perincian tetapi ada sesuatu yang akan diterima pelanggan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya