KUALA LUMPUR: SkyWorld Development Group (SkyWorld) melancarkan tawaran mampu milik, Residensi SkyAwani V, Sentul secara dalam talian.
Pelancaran itu dilakukan menggunakan Click2Own, iaitu portal pemilihan unit dalam talian yang selalunya digunakan oleh pembeli berpotensi untuk memilih unit digemari.
Ketua Pegawai Operasi SkyWorld, Lee Chee Seng berkata, selepas wabak Covid-19 mula menular, orang ramai tidak lagi dibenarkan berkumpul untuk memastikan keselamatan pembeli, pelabur dan juga kakitangan SkyWorld.
“Oleh itu, platform tersebut dibina untuk menawarkan keselamatan dan kemudahan tidak kira di mana anda berada.
“Kami bangga mengumumkan kami adalah pemaju pertama di Malaysia yang memudahkan proses tempahan unit hartanah secara dalam talian dengan platform Click2Own yang akan menjimatkan masa,” katanya dalam satu kenyataan.
Kaedah itu diterima dengan baik oleh orang awam semasa pelancaran dilakukan pada Jumaat lalu, sehingga mencapai 95 peratus kadar tempahan dalam sehari.
Bakal pembeli SkyAwani V Residence boleh memilih unit sendiri mengikut keselesaan kediaman yang diinginkan.
Setelah mengesahkan unit, pembeli boleh memeriksa tempahan unit masing-masing dan memuat turun borong jualan tanpa kertas.
Membuat tempahan unit tersebut hanya mengambil masa 10 minit, tidak seperti dahulu di mana orang ramai perlu beratur panjang di galeri jualan. – UTUSAN