KUALA LUMPUR: Firma sekuriti, SJ Securities Sdn. Bhd. menafikan pernah mengeluarkan sebarang bahan penyelidikan atau memberi nasihat mengenai Inix Technologies Holdings Berhad seperti yang dilaporkan dalam beberapa media sebelum ini.
Menurut SJ Securities, syarikat tersebut tidak pernah meminta mana-mana syarikat media untuk mengeluarkan sebarang bahan penyelidikan mengenai rancangan pembelian Inix Technologies terhadap L&S Gloves Sdn. Bhd.
Firma tersebut malah berkata tidak pernah memberi kebenaran kepada mana-mana akhbar atau ejen untuk menerbitkan laporan sedemikian.
“Kenyataan yang disebutkan dalam laporan media sama sekali tidak mewakili pandangan SJ Securities dan kami tidak menyokong cadangna yang dibuat di dalamnya.
“SJ Securities selalu mematuhi arahan, peraturan dan undang-undang Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Malaysia serta agensi kerajaan lain dalam melaksanakan langkah tepat melindungi kepentingan masyarakat pelaburan,” katanya dalam kenyataan hari ini. – UTUSAN