Samsung masuki pasaran 5G Eropah, isi kekosongan Huawei - Utusan Malaysia

Samsung masuki pasaran 5G Eropah, isi kekosongan Huawei

Sekatan yang dikenakan kepada Huawei memberi peluang kepada Samsung untuk mengembangkan pasaran 5G syarikat itu ke seluruh Eropah. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MADRID: Pengendali mudah alih Eropah mula mempertimbangkan Samsung Electronics yang sebelum ini agak terkebelakang bagi menggantikan syarikat teknologi China, Huawei sebagai pembekal sistem 5G walaupun perbincangan awal dikatakan masih menunjukkan ketidakpastian.

Selepas Samsung secara tidak dijangka berjaya memuktamadkan perjanjian bernilai AS$6 bilion (RM24.31 bilion) dengan syarikat gergasi Amerika Syarikat (AS), Verizon, September lalu; syarikat mudah alih Sepanyol, Telefonica dan Perancis, Orange dikatakan telah mengadakan perbincangan dengan firma Korea Selatan itu.

Perisian Huawei membentuk hampir separuh daripada rangkaian 4G di Eropah yang akan menjadi asas bagi teknologi pantas 5G selain Nokia dan Ericsson.

Namun begitu, pengendali Eropah berada di bawah tekanan AS untuk menolak sistem 5G gergasi China itu yang dikatakan mampu menyokong perkhidmatan teleperubatan sehingga automasi kilang pada masa depan.

Washington mengatakan terdapat risiko Huawei mungkin memberi maklumat kepada Beijing walaupun syarikat itu berulang kali menyangkal dakwaan berkenaan.

Walau bagaimanapun, masalah besar bagi Samsung adalah pengendali mudah alih bimbang produknya tidak sesuai dengan rangkaian 4G sedia ada yang dibina Huawei sekali gus bakal menelan belanja ratusan juta untuk menggantikannya berbanding menaik taraf sistem.

Ketua Pegawai Teknologi Telefonica, Enrique Blanco berkata, Samsung perlu sangat kompetitif dengan kos menukar sistem 4G merupakan kos tambahan kepada syarikat itu.

Jurucakap Samsung bagaimanapun menolak tanggapan bahawa peralatannya tidak sesuai dengan infrastruktur sedia ada sebagai salah faham tetapi tidak memberikan perincian teknikal.

Jurucakap tersebut turut menolak untuk memberitahu pasaran Eropah mana yang Samsung ingin teroka namun mengatakan caranya adalah serupa seperti yang telah dilakukan di Asia dan AS.

Ketua Pegawai Pembangunan Produk Verizon, Nicola Palmer ketika bercakap kepada Reuters memberitahu, syarikat itu menggunakan teknologi Samsung untuk pelbagai bahagian di pasaran AS yang luas.

“Kami telah melakukan beberapa percubaan dan memberi mereka beberapa pasaran untuk melihat bagaimana ia berfungsi. Ia berfungsi dengan baik,” katanya.

Ketua Pegawai Teknologi dan Inovasi Orange, Michael Trabbia juga dilaporkan sedang mempertimbangkan penyertaan Samsung di Eropah dengan dua negara di mana Orange belum memilih pembekal peralatan adalah Poland dan Romania.

Katanya, Orange telah menguji peralatan Samsung dan Huawei sebelum ini namun memilih Nokia serta Ericsson untuk sistem 5G di Perancis.

Pengendali mudah alih terbesar di Eropah, Deutsche Telekom bagaimanapun masih ragu-ragu sama ada Samsung boleh berdaya saing dalam jangka masa singkat, menurut sumber syarikat dan dokumen taklimat dalaman.

Penganalisis juga mengatakan Samsung perlu melakukan lebih banyak perkara untuk bersaing dengan Nokia dan Ericsson yang berada di ‘laman sendiri’.

Penganalisis OP Markets, Kimmo Stenvall berkata, sekiranya Samsung berjaya memuktamadkan perjanjian dengan Deutsche Telekom atau Telefonica, syarikat itu memerlukan sebuah organisasi besar bagi membangun dan menyokong infrastruktur.

“Mereka tidak boleh hanya menawarkan perkhidmatan kepada pengendali Eropah dan kemudian mula membina rangkaian di sini,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya