KUALA LUMPUR: Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) mencatatkan peningkatan berjumlah AS$400 juta (RM1.62 bilion) kepada AS$105.7 bilion (RM429.25 bilion) setakat 15 Disember lalu.
BNM dalam kenyataan memberitahu, jumlah tersebut meningkat daripada AS$105.3 bilion (RM427.62 bilion) yang direkodkan pada 30 November 2020.
Katanya, kedudukan rizab ketika ini mencukupi untuk membiayai 8.8 bulan import tertangguh dan 1.2 kali ganda daripada jumlah hutang luaran jangka pendek.
Menurut BNM, komponen terbesar rizab antarabangsa iaitu rizab mata wang asing merosot kepada AS$96.7 bilion (RM392.70 bilion) daripada AS$97.9 bilion (RM393.51 bilion) dua minggu lalu berbanding lima komponen lain.
“Rizab Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) kekal pada tahap AS$1.4 bilion (RM5.69 bilion) sama seperti rizab emas pada tahap AS$2.4 bilion (RM9.75 bilion) dan hak pengeluaran khas sebanyak AS$1.1 bilion (RM4.47 bilion).
“Perubahan terbesar adalah melibatkan aset rizab lain yang melonjak kepada AS$4.1 bilion (RM16.65 bilion) daripada AS$2.5 bilion (RM10.15 bilion),” katanya dalam kenyataan.
Jumlah aset bank bagaimanapun menurun kepada RM488.677 bilion pada 15 Disember lalu, merosot 0.23 peratus daripada RM489.786 bilion pada 30 November. – UTUSAN