Public Bank catat kenaikan harga saham tertinggi - Utusan Malaysia

Public Bank catat kenaikan harga saham tertinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Public Bank Berhad (Public Bank) merekodkan kenaikan 7.6 peratus dalam harga saham mereka selepas ditutup petang semalam, yang merupakan kenaikan tertinggi dalam kalangan 30 ahli FBM KLCI.

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd., Adam Mohamed Rahim berkata, sentimen positif tersebut telah memberi impak kepada harga saham perbankan lain seperti CIMB, Hong Leong Bank dan Maybank.

“Oleh itu, indeks perkhidmatan kewangan Bursa Malaysia juga merupakan indeks sektor yang merekodkan kenaikan tertinggi iaitu sebanyak 3.4 peratus.

“Secara keseluruhannya, FBM KLCI telah ditutup 0.9 peratus lebih tinggi pada paras 1646.5 mata semalam dan sektor perbankan adalah sektor yang paling banyak menyumbang kepada permodalan pasaran KLCI, iaitu lebih daripada 20 peratus permodalan pasaran FBM KLCI,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kelmarin, Public Bank mengumumkan cadangan terbitan sehingga 15.53 bilion saham bonus berasaskan empat saham bonus sesaham bagi setiap pegangan saham sedia ada.

Menurut Adam, langkah tersebut membawa berita baik buat pemegang saham sedia ada yang menerima empat saham bonus secara percuma daripada Public Bank.

“Selain daripada itu, ia meningkatkan kecairan saham dan meningkatkan keyakinan para pelabur mengenai kebolehan Public Bank untuk mengekalkan prestasi kewangan mereka,” katanya.

Sementara itu, Public Bank dalam satu kenyataan hari ini menafikan syarikat itu terlibat dalam penubuhan sebuah bank baharu di Kemboja yang dikaitkan dengan bekas Ketua Wilayah Operasi Public Bank di Indo-China, Datuk Phan Ying Tong.

Menurut syarikat itu, Ying Tong telah meletakkan semua jawatan yang dipegangnya dalam Kumpulan Public Bank dan tidak lagi memegang jawatan Ketua Wilayah Operasi bank itu di Indi-China.

“Kami ingin menjelaskan bahawa Kumpulan Public Bank tidak terlibat sama sekali dalam usaha sama berkenaan.

“Berikut peletakan jawatan Datuk Phan itu, beliau kini tidak lagi dibenarkan untuk mewakili Kumpulan Public Bank dalam apa jua perkara yang berkaitan dengan Kumpulan Public Bank,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya