Proton sasar tingkat eksport 2021 - Utusan Malaysia

Proton sasar tingkat eksport 2021

Pelancaran X50 membantu meningkatkan jualan Proton tahun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pertambahan jualan eksport sebanyak 10.6 peratus setakat akhir November berbanding tempoh sama tahun lalu telah membuatkan Proton Holdings Berhad semakin teruja meningkatkan aktiviti eksport tahun hadapan.

Sambil berusaha memenu­hi keperluan tempatan, Proton menyasarkan untuk mene rokai pasaran antarabangsa melalui pelancaran produk selepas pencapaian baik tahun ini walaupun terdapat sekatan seluruh dunia akibat pandemik Covid-19.

Menurut Pengerusi Proton, Datuk Seri Syed Faisal Albar, lima pelancaran bakal berlaku dalam tempoh terdekat termasuk model X50 yang bakal memasuki pasaran eksport di samping permulaan aktiviti pemasangan tempatan dan jualan kenderaan di pasaran baharu.

Beliau berkata, membina jenama Proton di pasaran antarabangsa adalah penting kerana ia turut mewakili nama Malaysia walaupun memacu pasaran tempatan tetap menjadi sasaran syarikat automotif negara itu.

Katanya, objektif berkenaan dinyatakan dengan jelas dalam rancangan 10 tahun yang telah dibentuk pada permulaan kerjasama strategik dengan Geely.

“Tahun ini rancangan eksport kami terjejas disebabkan Covid-19 kerana setiap negara mempunyai cara tersendiri mengawalnya.

“Namun begitu, usa­ha pekerja kami serta soko­ngan daripada pelbagai agensi kerajaan telah membantu Proton kembali ke haluan yang betul. Oleh itu, dalam jangka masa beberapa minggu ini, kami akan mengumumkan permulaan aktiviti pemasangan tempatan dan jualan di Kenya dan Pakistan serta mengeksport X50 di Brunei,” katanya dalam kenyataan.

Proton turut memberitahu, selain negara-negara yang telah diumumkan tersebut, Proton Saga juga akan dilancarkan secara dalam talian bagi pasaran Bangladesh dan Mesir.

Pada masa yang sama, satu lagi pelancaran turut diadakan di Nepal menjelang penghujung tahun ini.

Sebanyak 405,267 unit kenderaan Proton telah dieksport ke seluruh dunia sejak Proton Saga generasi pertama pada tahun 1989. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya