PNB tingkat strategi, fokus pelaburan jangka panjang - Utusan Malaysia

PNB tingkat strategi, fokus pelaburan jangka panjang

Kadar dividen ASB terendah dalam sejarah cetus panik dalam kalangan peminjam skim pelaburan itu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Permodalan Nasional Berhad (PNB) sentiasa memberi tumpuan kepada strategi pelaburan jangka panjang walaupun berdepan cabaran jangka pendek atau sederhana seperti krisis pandemik Covid-19 yang berlaku ketika ini.

Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Dr. Zeti Aziz berkata, agensi tersebut akan terus me­laksanakan strategi kepelbagaian aset terutama pada kelas aset lain dan global.

Pada masa sama, Zeti berkata, PNB juga telah mengukuh­kan keupayaan pengurusan ri­siko sekali gus membolehkan prestasi pelaburannya masih memberangsangkan walaupun berdepan persekitaran mencabar.

Beliau berkata, menerusi perancangan pelaburan jangka panjang, PNB tidak akan terganggu dengan ketidaktentuan jangka pendek dan hanya berdasarkan penilaian asas bagi mengharungi cabaran jangka pendek serta sederhana dalam menjana pulangan mampan.

“Semua itu penting kerana kita perlu fokus pada jangka panjang dan menjana pulangan berterusan supaya tidak berlaku mempunyai prestasi baik untuk satu tahun semata-mata tetapi tahun hadapannya prestasi menjunam.

“Proses kepelbagaian akan diteruskan bagi mengelakkan kepada penumpuan risiko yang berlebihan termasuk meneroka pelaburan ke dalam industri baharu dan memperkukuh kemampuan pengurusan risiko.

“Hasil strategi ini telah membuahkan hasil tahun ini apabila segala usaha telah memberikan pulangan signifikan,” katanya dalam sidang akhbar pengumuman dividen Amanah Saham Bumiputera (ASB) secara maya semalam.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, strategi pelaburan PNB mula menghasilkan pulangan positif.

Katanya, PNB akan memberi kerjasama kepada syarikat pelaburan strategik dan teras­nya dalam inisiatif meningkatkan prestasi operasi serta pertumbuhan pendapatan demi menjana pulangan keseluruhan yang lebih baik kepada pelabur.

“Ia terutama sekali apabila pulangan ekuiti awam antarabangsa menjana 24.2 peratus kepada pendapatan keseluruhan ASB, peningkatan mendadak berbanding hanya 6.3 peratus tahun lalu.

“Sangat positif jika dibandingkan peruntukan hanya 5.9 peratus daripada portfolio keseluruhan pelaburan kami,” katanya.

Ahmad Zulqarnain berkata, PNB terus memberikan pula­ngan mampan kepada peme­gang unit dengan mencatatkan jumlah pembayaran sebanyak RM11.2 bilion merentasi semua dana bagi 2020 termasuk agihan pendapatan ASB.

Ini sekali gus menjadikan jumlah terkumpul agihan pendapatan PNB sejak ditubuhkan adalah sebanyak RM211.4 bilion. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya