KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Bursa Malaysia Berhad (Bursa Malaysia) akan menamatkan penggantungan Jualan Singkat yang Dikawal Selia (RSS).
Kedua-dua badan penyelia itu juga memaklumkan telah menyemak langkah-langkah pengurusan pasaran lain yang diperkenalkan pada tahun ini berikutan meningkatnya kemudahubahan yang timbul daripada kesan Covid-19.
Dalam kenyataan bersama, SC dan Bursa Malaysia memaklumkan, keputusan tersebut diambil selepas pertimbangan yang sewajarnya terhadap keadaan pasaran semasa dan keperluan pasaran yang semakin berkembang.
“Penggantungan RSS yang dijadualkan berakhir pada 31 Disember 2020, akan dilanjutkan ke 1 Januari 2021 untuk memudahkan pengurusan risiko pelabur dan menggalakkan aktiviti Pinjam Meminjam Sekuriti (SBL) yang merupakan elemen penting fungsi pasaran modal untuk memudahcarakan produk dan aktiviti penggalakan pasaran,” katanya dalam kenyataan itu semalam.
Menurut kenyataan itu, RSS akan diperkenalkan semula dengan langkah-langkah kawalan yang dipertingkatkan demi memastikan kestabilan dan menjaga keyakinan pelabur iaitu kad kedudukan singkat kasar harian bagi Sekuriti yang Diluluskan akan dikurangkan buat sementara waktu daripada tiga peratus kepada dua peratus; dan had baharu sebanyak empat peratus pada kedudukan singkat bersih beragregat RSS akan diperkenalkan.
Sementara itu, katanya, penggantungan sementara ke atas Jualan Singkat Intra Hari (IDSS) dan jualan singkat intra hari oleh Pedagang Harian Proprietari (PDT Short Sale) yang akan berakhir pada 31 Disember 2020 akan dilanjutkan sehingga 28 Februari 2021.
“Berikutan lanjutan Jualan Singkat PDT, pengecualian sementara berkaitan dengan PDT akan dilanjutkan sehingga 28 Februari 2021,” jelasnya.
Tambahnya, semakan sementara terhadap langkah-langkah pengurusan pasaran sedia ada yang lain, iaitu had harga dinamik dan statik serta pemutus litar pasaran (circuit breaker), akan dilanjutkan sehingga 30 Mei 2021.
Langkah-langkah itu dilaksanakan pada 20 Julai 2020 dan dijadualkan tamat pada 18 Januari 2021.
Langkah-langkah itu dilaksanakan pada 20 Julai 2020 dan dijadualkan tamat pada 18 Januari 2021.
Di samping itu, langkah-langkah bantuan dan kelonggaran sementara yang berkaitan dengan pembiayaan margin, yang akan berakhir pada 31 Disember 2020, akan dilanjutkan sehingga 30 Jun 2021.
“SC dan Bursa Malaysia akan terus memantau perkembangan di peringkat global dan domestik, serta mengambil pendekatan proaktif dalam melaksanakan langkah-langkah yang wajar demi mendukung pasaran yang adil dan teratur,” katanya. – UTUSAN