KUALA LUMPUR: Pelabur asing meneruskan momentum sebagai penjual utama pasaran modal negara selepas mencatatkan jualan RM574.5 juta sepanjang minggu lalu.
Menurut MIDF Research, pelabur asing telah menjual RM157.6 juta ekuiti tempatan sebaik sahaja pasaran dibuka semula Isnin minggu lalu, diikuti institusi tempatan yang menjual RM50.9 juta saham.
Walau bagaimanapun, MIDF Research berkata, hanya peruncit mencatatkan belian pada hari pertama sesi dagangan minggu lalu berjumlah RM208.5 juta.
Katanya, peruncit terus menjadi pembeli aktif sepanjang minggu lalu dengan aliran masuk bersih terbesar direkodkan pada Rabu dengan kadar RM267.9 juta, manakala terkecil pada Khamis berjumlah RM41.5 juta.
“Bulan Disember telah menyaksikan peruncit mengukuhkan kedudukan sebagai pembeli bersih ekuiti tempatan dengan setakat ini hanya satu hari peruncit mencatatkan penjualan saham dalam Bursa Malaysia.
“Hal ini berbeza dengan institusi tempatan dengan menyaksikan mereka menjadi penjual bersih sepanjang minggu lalu kecuali pada Khamis.
“Aliran keluar bersih terbesar dicatatkan pada hari Rabu iaitu sebanyak RM88.86 juta manakala hanya pada hari Khamis institusi tempatan mencatatkan pembelian sebanyak RM119.2 juta,” katanya dalam laporan aliran dana mingguan.
Mengulas lanjut, MIDF Research berkata, menjelang akhir tahun, penjualan ekuiti pelabur asing telah mencecah RM24.8 bilion manakala peruncit merekodkan pembelian saham tempatan berjumlah RM13.14 bilion mengatasi institusi tempatan pada kadar RM11.16 bilion.
MIDF Research pada masa sama memberitahu, pasaran modal negara telah mencatatkan aliran keluar asing tertinggi sepanjang minggu lalu berbanding tiga pasaran Asia Tenggara lain.
“Thailand pula telah mengalami aliran masuk terendah berbanding pasaran-pasaran lain.
“Dari segi penyertaan, pelabur runcit mencatatkan peningkatan mingguan iaitu sebanyak 11.26 peratus dalam purata nilai dagangan harian (ADTV) bersama pelabur asing yang naik 7.21 peratus, manakala institusi tempatan mencatatkan penurunan berjumlah 36.12 peratus,” katanya. – UTUSAN