OIB bina Pulau Indah Arym, GDV RM400 juta - Utusan Malaysia

OIB bina Pulau Indah Arym, GDV RM400 juta

WENDY Lim (kanan) bersama Ooi Lean Hin (tengah) dan Pengarah MTT Shipping, Chan Huan Hin selepas menandatangani kerjasama perjanjian antara OIB dan MTT Shipping.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pemaju hartanah, Oriental Interest Berhad (OIB) telah melancarkan kawasan perindustrian Pulau Indah Arym dalam usaha merangsang pertumbuhan ekonomi di Selangor.

Menurut OIB dalam kenyataan, Pulau Indah Arym terletak dalam kawasan seluas 79.32 hektar yang mampu memuatkan 41 unit perindustrian dan komponen kecil dengan nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira RM400 juta.

Pada masa sama, OIB berkata, mengalu-alukan kehadiran sebuah syarikat perkapalan terkemuka di Malaysia, MTT Shipping Sdn Bhd ke projek perindustrian pertama di Pulau Indah Arym.

“Melalui perjanjian ini, MTT Shipping dan syarikat berkaitan akan membeli enam lot tanah perindustrian seluas kira-kira 9.91 hektar dengan harga lebih RM70 juta sekali gus memeterai kerjasama pertama di kawasan tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, Pengurus Besar Penjualan dan Pemasaran OIB, Wendy Lim berkata, biar pun OIB adalah sebuah syarikat terkenal dengan pembangunan projek kediaman dan komersial tetapi pihaknya mahu meneroka peluang baharu dalam pasaran sektor hartanah perindustrian yang memiliki potensi besar untuk berkembang.

Katanya, Pulau Indah Arym berada dalam lokasi strategik kerana terletak berhampiran pelabuhan utama negara yang sangat sesuai bagi MTT Shipping yang menyediakan perkhidmatan perkapalan lengkap antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak serta pelabuhan serantau laut dalam seperti Singapura, Thailand dan Brunei.

“Oleh itu, kami mula merancang untuk melaksanakan projek Arym di Pulau Indah sejak 2017 dan hasil kerja keras selama beberapa tahun membuahkan hasil apabila pelancarannya mendapat sambutan yang baik.

“Dengan lokasi yang strategik dan keluasan tanah yang sesuai, Pulau Indah Arym berjaya memenuhi keperluan MTT Shipping untuk pembangunan kemudahan pengangkutan bersepadu yang merangkumi depot kontena kosong, terminal kenderaan dan kemudahan membaiki kapal,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan MTT Shipping, Ooi Lean Hin berkata, kawasan seluas 24.5 ekar itu membolehkan mereka merasionalisasi pembangunan kemudahan pengangkutan bersepadu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, lokasi tanah di sekitar pelabuhan utama negara, Westports, boleh membantu pelanggan menjimatkan kos dan penyelesaian logistik yang cekap.

Menurut Lean Hin, inisiatif itu akan menguntungkan banyak organisasi termasuk MTT Shipping yang ingin membangunkan depot yang dilengkapi dengan teknologi canggih. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya