NTIS MOSTI bantu peneroka Felda - Utusan Malaysia

NTIS MOSTI bantu peneroka Felda

MENTERI Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaludin dan Pengerusi Felda, Datuk Seri Idris Jusoh dalam satu wawancara secara maya mengenai memorandum persefahaman antara MaGIC dan Felda di Ibu pejabat MaGIC, Cyberjaya, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAK dilancarkan lebih 60 tahun lalu, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) sentiasa menjadi kebanggaan dan bukti kebijaksanaan pemerintah negara dalam memajukan rakyatnya. Dari Lurah Bilut ke Sahabat 2, Felda membuktikan bahawa pertanian dan perladangan boleh menjadi pemacu ekonomi negara.

Dengan kemajuan dunia yang semakin pesat, sesuatu perlu dilakukan supaya Felda tidak mati ditelan zaman. Teknologi dan inovasi adalah kuncinya dan melalui kerjasama bersama Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC), transformasi Felda ke arah amalan operasi yang moden dan canggih semakin menjadi kenyataan.

NTIS merupakan sebuah inisiatif di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan diketuai oleh Pusat Inovasi dan Kreativiti Global (MaGIC) serta disokong oleh MIMOS, TPM, MTDC dan Futurise.

Pada 28 November lalu, MaGIC bekerjasama dengan Felda menganjurkan Majlis Pelaksanaan Projek Rintis Sandbox Teknologi dan Inovasi Nasional (NITIS) Felda Mempaga.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MaGIC, Dzuleira Abu Bakar, kerjasama tersebut menyasarkan beberapa objektif, termasuk meningkatkan pendapatan purata peneroka Felda dengan cara mengurangkan kos operasi perladangan dan meningkatkan hasil peladang selain mempelbagaikan aktiviti dalam tanah rancangan Felda bagi mewujudkan peluang ekonomi dan pekerjaan berpendapatan tinggi.

Kata beliau, itu adalah kerjasama pertama NTIS dengan Felda yang bertujuan meningkatkan pendapatan purata peneroka.

“Melalui perbincangan dengan pihak Felda, kami dapati bahawa kadar kesedaran dan penggunaan teknologi masih rendah dalam kalangan peneroka. Kita juga lihat kurang insentif atau daya tarikan untuk generasi baharu untuk menceburi bidang pertanian.

“Disebabkan kurangnya penggunaan teknologi dan inovasi, kebergantungan terhadap tenaga buruh kasar adalah tinggi yang masa kira-kira 60 peratus kos dikaitkan dengan tenaga buruh untuk penuaian dan 40 peratus untuk penyelenggaraan ladang dan pembajaan.

“Kaedah yang digunakan sekarang juga tidak mematuhi amalan pertanian yang optimum, sekali gus menjejaskan produktiviti dan pensijilan peneroka,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Dzuleira, NTISFelda memutuskan untuk mencari penyelesaian bagi tiga masalah yang berkaitan kelapa sawit, iaitu dari segi penuaian, penyelenggaraan dan pembajaan.

“Berdasarkan ini, teknologi terbaharu yang akan diperkenalkan dalam projek ini adalah penggunaan teknologi dron dan robotik yang mengguna pakai penyelesaian seperti sistem lanjutan pintar, kecerdasan buatan, fertigasi pintar dan bahan lanjutan,” katanya.

Kata beliau, bagi projek rintis Felda Mempaga, lima syarikat pemula telah dipilih untuk menjalankan ujian tekanan pertama dalam tempoh masa enam hingga 12 bulan, dan hasil penemuan dari inisiatif ini akan diterapkan ke lebih banyak lokasi pertanian dalam masa terdekat.

Melalui kerjasama itu juga, kata beliau, purata pendapatan peneroka disasarkan meningkat daripada RM3,017 kepada RM5,000 sebulan.

“Kerjasama ini juga diharap dapat mempelbagaikan aktiviti di rancangan Felda bagi mewujudkan peluang ekonomi bernilai tinggi dan pekerjaan bagi generasi baharu Felda.

“Sebagai contoh, bagi pekerjaan pengendali dron, anggaran pendapatannya adalah sebanyak RM4,000 ke RM7,000 sebulan manakala untuk penyelenggara dron, robot dan mesin, mereka boleh memperoleh sehingga RM2,000 ke RM3,000 sebulan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN