Northern Shipyard bina bot Tentera Laut Nigeria - Utusan Malaysia

Northern Shipyard bina bot Tentera Laut Nigeria

Empat bot peronda pesisir pantai berkelajuan tinggi milik Tentera Laut Nigeria yang dibina Northen Shipyard dilancarkan di Langkawi, semalam. – UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Syarikat pembinaan dan pembaikan kapal tempatan, Northern Shipyard Sdn. Bhd. (Northern Shipyard) berjaya membina empat bot peronda pesisir pantai berkelajuan tinggi milik Tentera Laut Nigeria bernilai kira-kira RM32 juta.

Pengurus Teknikal Northern Shipyard, Masmawi Ishak berkata, bot peronda itu dibina selepas mendapat tempahan daripada sebuah syarikat dari Singapura, Suncraft International Pte. Ltd. dan Tentera Laut Nigeria.

Katanya, empat bot peronda itu yang bernilai antara RM6 juta hingga RM10 juta sebuah, mengambil masa kira-kira 10 bulan untuk di­siapkan selepas memulakan pembinaan pada Februari lalu.

“Lebih membanggakan, pembinaan bot peronda itu menggunakan tenaga kerja dan kepakaran anak tempatan Langkawi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pelancaran Bot Peronda Pesisir Pantai Tentera Laut Nigeria di Royal Langkawi Yatch Club di sini semalam.

Bot peronda itu dirasmikan oleh Pegawai Daerah Langkawi, Saiful Anwar Azmi dan disaksikan Pengarah Urusan Northern Shipyard, Ooi Cheng Choon.

Northern Shipyard merupakan anak syarikat Langkawi Ferry Services Sdn. Bhd. yang menjalankan operasi feri bagi laluan Pulau Langkawi ke Kuala Kedah, Kuala Perlis, Pulau Pinang, Satun dan Koh Lipe, Thailand.

Masmawi memberitahu, bot berkenaan memenuhi standard antarabangsa seperti kalis peluru, berkelajuan tinggi sehingga mencatat kelajuan 55 knot sejam serta memiliki peralatan canggih.

“Bot sepanjang 17 meter dan lebar 4.3 meter ini menggunakan daya penggerak enjin dari Jerman berkapasiti 1200 kuasa kuda untuk dua unit enjin, sistem penolakan permukaan air dari Switzerland serta reka bentuk dari Itali,” katanya.

Menurut beliau, ia merupakan kali pertama syarikat terlibat dalam pembinaan bot tentera dari luar negara.

“Bot ini dijangka diserahkan kepada Tentera Laut Nigeria pada Januari tahun hadapan dengan menggunakan kapal kargo,” ujarnya.

Tambah Masmawi, syarikat berharap pihak kerajaan dapat memberi peluang kepada mereka untuk menawarkan kepakaran dalam membuat pemasangan bot bagi agensi keselamatan negara.

“Kos bagi pembelian bot juga mungkin lebih murah kerana kita menggunakan kepakaran anak tempatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya