Nilai bitcoin cecah AS$20,632 - Utusan Malaysia

Nilai bitcoin cecah AS$20,632

Nilai bitcoin jatuh ke bawah paras AS$50,000 buat kali pertama sejak Mac.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Nilai bitcoin iaitu mata wang kripto terkenal di dunia telah mencecah paras tertinggi dalam sejarah apabila mencatat­kan harga melebihi AS$20,000 (RM80,689.96) ekoran peningkatan minat daripada syarikat-syarikat pelaburan besar.

Mata wang kripto itu melonjak lebih enam peratus kelmarin kepada AS$20,632 (RM83,239.77) berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), melanjutkan kenaikan harga bitcoin yang menarik minat syarikat pelaburan besar yang tertarik dengan potensi pertumbuhan keuntungan pantas.

Secara keseluruhannya, harga bitcoin telah melonjak lebih 400 peratus tahun ini selepas merekodkan harga terendah AS$3,600 (RM14,524.19) pada Mac lalu ketika penularan Co­vid-19, mencetuskan penjualan besar-besaran dalam pasaran kewangan seluruh dunia.

Penganalisis ekonomi berpendapat bahawa tidak seperti kenaikan sebelum ini, pemacu utama harga kali ini adalah disebabkan lebih banyak pelabur institusi membeli mata wang kripto.

Ketua Eksekutif deVere Group, Nigel Green yang mengendalikan pertukaran bitcoin berkata, kebanyakan pelabur tertarik dengan pulangan baik ditawarkan kelas aset digital pada masa ini.

“Namun begitu, apa yang le­bih penting adalah potensi besar masa hadapan yang ditawarkan mata wang kripto.

“Memandangkan beberapa institusi terbesar dunia terma­suk syarikat pembayaran multinasional dan gergasi Wall Street semakin banyak mula meneroka kripto dengan membawa masuk kepakaran dan modal besar sekali gus meningkatkan minat pengguna,” katanya.

Peningkatan dalam bitcoin berlaku selepas lonjakan mata wang digital pada 2017 iaitu lebih daripada 900 peratus kepada hampir AS$20,000 (RM80,689.96) pada pertengahan Disember dengan pemimpin kewangan global dan ahli ekonomi memberi amaran mengenai kenaikan harga se­perti yang telah berlaku ‘Tulip Mania Belanda’ pada abad ke-17.

Bitcoin kemudiannya jatuh di bawah AS$7,000 (RM28,241.49) pada awal Februari 2018 tetapi tidak pernah turun sehingga mencecah sifar seperti yang diramalkan beberapa penganalisis ketika itu.

Minat pelabur dalam bitcoin telah meningkat sebagai cara berpotensi untuk melindungi kenaikan inflasi.

Sebuah syarikat pengurusan pelaburan yang berpangkalan di United Kingdom (UK), Ruffer yang mempunyai aset lebih 20 bilion pound (RM109.57 bi­lion) mengunjurkan bitcoin kini bernilai sekitar 550 juta pound (RM3.01 bilion) dalam satu daripada isyarat terbesar pe­ningkatan permintaan daripada pengurus pelaburan tradisional. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya