KUALA LUMPUR: Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan syarikat perladangan, Kulim (Malaysia) Berhad berjaya menghasilkan klon pokok sawit terbaharu dikenali sebagai Clonal Palm Series 3 (CPS3).
Menurut MPOB, CPS3 adalah klon sawit berkualiti yang berupaya meningkatkan produktiviti dan hasil buah tandan segar lebih tinggi.
Katanya, baka sawit itu adalah antara siri bahan tanaman yang ditawarkan oleh MPOB kepada pihak industri untuk penanaman secara komersial.
MPOB berkata, bahan tanaman elit CPS3 telah diperkenalkan pada Seminar Pemindahan Teknologi dan Pameran MPOB 2020, Julai lalu.
“Penyelidikan MPOB melalui biak baka dan bioteknologi bertujuan menghasilkan benih sawit berkualiti untuk penanaman secara komersial di sektor perladangan dan pekebun kecil.
“Penghasilan bahan tanaman berkualiti adalah antara strategi untuk menangani isu pengeluaran minyak sawit yang mendatar sekitar empat tan sehektar setahun secara purata,” katanya dalam kenyataan semalam.
Dalam pada itu, Ketua Pasukan Penyelidikan CPS3, Siti Rahmah Abdul Rahman berkata, bahan tanaman yang telah ditanam di ladang Kulim itu berupaya meningkatkan produktiviti dan hasil buah tandan segar yang lebih tinggi berbanding bahan tanaman baka kacukan dura dan pisifera (DxP).
Siti Rahmah memberitahu, pokok klon CPS3 mempunyai produktiviti yang tinggi dengan memaksimumkan hasil bagi setiap hektar.
Beliau berkata, klon CPS3 yang ditanam dengan 136 pokok sehektar mampu menghasilkan 37.5 peratus minyak setandan (M/T) dengan berat buah tandan segar (BTS) 221.7 kilogram bagi setiap pokok dalam tempoh setahun.
“Nisbah M/T dan BTS klon CPS3 ini masing-masing adalah 21.8 peratus dan 7.6 peratus lebih tinggi berbanding pokok sawit DxP yang ditanam secara komersial di Malaysia manakala hasil minyak sawit mentah pula adalah 30.7 peratus lebih tinggi berbanding DxP.
“CPS3 juga menghasilkan bilangan tandan yang ideal iaitu menghampiri 15 tandan setahun dan berat 15 kilogram setandan seperti disarankan ahli biak baka sawit.
“Apa yang lebih menarik adalah klon CPS3 berjaya merekodkan 11.3 tan minyak sehektar setahun berbanding 8.6 tan sehektar setahun bagi kacukan DxP,” katanya. – UTUSAN