WASHINGTON: Honda Motor Co. telah menarik semula sebanyak 1.79 juta kenderaannya di seluruh dunia dalam empat kempen berasingan, termasuk beberapa yang berkaitan dengan laporan kebakaran.
Penarikan semula itu meliputi 1.4 juta kenderaan di Amerika Syarikat (AS).
Pembuat kenderaan Jepun itu memberitahu, penarikan balik tersebut merangkumi 268,000 kenderaan model CR-V keluaran 2002-2006 di AS bertujuan untuk menggantikan suis utama tingkap kenderaan tersebut.
“Walaupun tiada sebarang kecederaan, tetapi 16 kebakaran berkaitan masalah tersebut telah dilaporkan.
“Honda menarik semula semua kenderaannya yang menggunakan kuasa tingkap utama keluaran 2012. Penarikan itu dilakukan kerana kegagalan suis yang telah dibaiki di bawah kempen sebelum ini,” jelas syarikat kenderaan itu.
Honda juga menarik sekitar 735,000 kenderaan Accord 2018 di AS, Accord Hybrid dan Honda Insight 2019-2020 untuk mengemas kini perisian Body Control Module.
Honda menjelaskan, sebarang kesilapan pengaturcaraan boleh menyebabkan gangguan pencahayaan beberapa lampu amaran dan kerosakan komponen elektronik termasuk paparan kamera belakang, isyarat belok dan pengelap cermin hadapan.
“Honda juga menarik balik 430,000 kenderaan di 22 negeri AS dan daerah Columbia untuk memeriksa dan mengganti batang pemacu hadapan. Perkara itu berlaku akibat ia berkarat. Bagaimanapun, tiada laporan kecederaan yang diterima,” katanya.
Honda berkata, alat ganti itu tidak tersedia untuk semua kenderaan yang terlibat dengan kerosakan tersebut. Ia hanya ada untuk beberapa model Honda iaitu Civic Hybrid 2012, Honda Fit 2007-2014, Acura ILX Hybrid 2013-2015 dan Accord. – AGENSI