KUALA LUMPUR: Penyambungan semula operasi syarikat penerbangan secara beransur-ansur dan pengenalan laluan baharu memberi pandangan positif pemulihan dalam sektor penerbangan negara.
Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dalam kenyataan malah menyambut kehadiran semula Cathay Pacific selepas tiga tahun dengan syarikat penerbangan antarabangsa itu menawarkan penerbangan mingguan ke Hong Kong dari KLIA.
Pada masa sama, KLIA turut menantikan penerbangan sulung Starlux Airlines dari Taipei bermula Januari 2021.
“Penerbangan baharu ini sebagai tambahan kepada laluan Taipei-Pulau Pinang yang bermula awal tahun ini.
“Di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pula, AirAsia Indonesia akan meneruskan operasi penerbangannya dari Kuala Namu ke Pulau Pinang bermula bulan ini. Dengan penyambungan semula operasi itu, AirAsia Indonesia menjadi syarikat penerbangan antarabangsa keenam memulakan semula operasi di Pulau Pinang.
“Firefly pula akan memulakan operasi di Pulau Pinang sebagai hab kedua dengan memperkenalkan laluan baharu dari Pulau Pinang ke Kuching dan Kota Kinabalu bermula Januari 2021,” katanya dalam kenyataan semalam. -UTUSAN