TOKYO: Kerajaan Jepun sedang mempertimbangkan larangan penjualan kenderaan enjin petrol menjelang pertengahan 2030 untuk memberi tumpuan kepada pasaran kereta hybrid dan elektrik.
Menurut laporan NHK, langkah tersebut selaras dengan peralihan global untuk mengurangkan penggunaan kereta berkuasa tradisional.
Langkah itu juga seiring dengan usaha kerajaan Jepun untuk mengurangkan pelepasan karbon kepada sifar pada 2050 yang telah ditandatangani Perdana Menteri, Yoshihide Suga Oktober lalu.
Rancangan itu bertujuan menjadikan Jepun negara G7 kedua yang menetapkan tarikh akhir untuk menghentikan penggunaan kenderaan menggunakan petrol.
Jurucakap kerajaan, Katsunubo Kato berkata, Kementerian Industri akan membentangkan rancangannya pada akhir tahun ini.
“Kementerian sedang mempertimbangkan untuk mewajibkan semua kenderaan baharu menjadi kereta elektrik dan hibrid.
“Kementerian akan memuktamadkan sasaran rasmi setelah perbahasan panel pakar berakhir pada akhir tahun ini,” lapor sumber.
Menurut laporan Boston Consulting Group mengenai prospek kereta tenaga bateri, Jepun dijangka meningkatkan bahagian kenderaan elektriknya kepada 55 peratus pada 2030.
“Di peringkat global, kepantasan perkembangan bahagian kenderaan elektrik akan meningkat kerana harga bateri akan jatuh lebih cepat daripada jangkaan sebelum ini,” jelas Boston Consulting dalam laporan itu.
Toyota, Honda Motor Co., Nissan dan Mitsubishi Motors Corp. bagaimanapun enggan memberi komen berhubung laporan berkenaan.
United Kingdom dilaporkan turut melarang penjualan kereta baharu yang menggunakan diesel pada awal 2030, membawa tarikh fasa kereta itu berakhir lima tahun ke hadapan sebagai revolusi hijau yang dikatakan oleh Perdana Menteri, Boris Johnson.
Jepun, China dan Korea Selatan baru-baru ini mengumumkan sasaran untuk mengakhiri semua pelepasan gas rumah hijau bagi mengawal pemanasan global. – AGENSI