KUALA LUMPUR: Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) memperkenalkan perkhidmatan Kaunter Zakat Digital (KZD) dalam usaha meningkatkan kutipan zakat.
Menurut PPZ-MAIWP, KZD diwujudkan bagi memudahkan pembayar dan pegawai kaunter PPZ-MAIWP untuk berinteraksi secara dua hala dalam platform digital.
Katanya, berbeza dengan pembayaran melalui portal yang hanya mempunyai komunikasi sehala, Kaunter Zakat Digital bersifat lebih interaktif.
“Pegawai kaunter PPZ-MAIWP akan berhubung terus dengan pembayar dan membantu menyelesaikan urusan berkaitan zakat, taksiran atau proses bayaran.
“Pembayar boleh membuat pilihan untuk berurusan melalui 10 kaunter PPZ-MAIWP yang ditetapkan dan akan dihubungi semula dalam tempoh 24 jam. Melalui perkhidmatan ini, pembayar akan diselia oleh pegawai zakat PPZ-MAIWP sehingga selesai proses bayaran zakat,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Ahmad Shukri Yusoff berkata, dalam pasca penularan wabak Covid-19, segala urusan perlu dilaksanakan dengan penekanan kepada soal pendigitalan sebagai langkah adaptasi kepada norma baharu pada masa depan.
Beliau berkata, pembayar zakat kini boleh mendapatkan perkhidmatan pembayaran zakat dari rumah pada bila-bila masa, sekali gus membolehkan perkhidmatan pembayaran zakat menjadi lebih efektif, pantas dan efisien.
“PPZ-MAIWP perlu sentiasa inovatif untuk berhadapan dengan kehidupan norma baharu yang jauh lebih mencabar bagi memastikan urusan berzakat lebih mudah dilaksanakan. Semoga dengan adanya saluran bayaran yang pelbagai ini, ia tidak lagi menjadi alasan masyarakat Islam untuk tidak berzakat,” katanya.- UTUSAN