Krisis opioid: AS saman Walmart - Utusan Malaysia

Krisis opioid: AS saman Walmart

Walmart Inc. didakwa tidak mengendahkan amaran daripada ahli farmasi dan mengeluarkan ribuan preskripsi tidak sah ubat-ubat yang dijual sehingga mendorong berlaku krisis opiod di Amerika Syarikat. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat (AS) menyaman Walmart Inc. kelmarin atas dakwaan peruncit terbesar dunia itu mendorong krisis opioid di negara itu, tidak mengendahkan amaran daripada ahli farmasi dan mengeluarkan ribuan preskripsi tidak sah.

Dalam satu tuntutan mah­kamah sivil di Mahkamah Da­erah di Delaware, kerajaan AS mendakwa Walmart, sebagai sebuah farmasi gagal menjalankan tanggungjawab untuk me­nyaring ubat yang dijual kepada pengguna.

Walmart menolak dakwaan tersebut.

Syarikat itu yang sahamnya ditutup rendah 1.2 peratus berikutan laporan tersebut, dalam sebuah kenyataan mendakwa, siasatan DOJ dicemari sejarah pelanggaran etika dan tuntutan tersebut menimbulkan teori undang-undang yang secara tidak sah memaksa ahli farmasi hadir antara doktor dan pesakitnya serta dipenuhi dengan ketidaktepatan fakta.

Menurut tuntutan tersebut, Walmart mencipta sistem yang mengubah 5,000 farmasi dalam kedainya kepada pembekal ubat tahan sakit yang sangat menagihkan, bermula seawal Jun 2013.

Lebih 3,000 tuntutan telah difailkan oleh negeri, wilayah dan kawasan perbandaran di seluruh AS bagi mempertanggungjawabkan pembuat serta pengedar ubatan yang mendorong epidemik ketagihan opioid.

Menurut data kerajaan AS, epidemik tersebut telah menyebabkan 450,000 kematian akibat dos berlebihan sejak 1999 hingga 2018.

Tuntutan itu merupakan antara tindakan paling signifikan yang diambil DOJ sebagai respons terhadap epidemik tersebut, menyasarkan syarikat-syarikat yang didakwa menyum­bang kepada peningkatan kes.

Bulan lalu, pendakwa raya mendapatkan akuan bersalah daripada Purdue berkaitan penjualan opioid dan sebelum itu, mereka mengenakan beberapa tindakan kepada pembuat opioid, Insys Therapeutics yang didakwa merasuah doktor untuk mengeluarkan preskripsi dadah yang menagihkan.

Menurut tuntutan tersebut, Walmart secara tidak sah memfailkan ribuan preskripsi tidak sah untuk bahan terkawal. Ia turut menyatakan sejak bertahun, Walmart mengamalkan sistem yang telah diketahui gagal untuk mengesan dan melaporkan tempahan yang me­ragukan.

Kerajaan AS menuduh Wal­mart melanggar Akta Bahan Terkawal. Jika didapati bersalah, syarikat itu berhadapan denda sivil sehingga AS$67,627 (RM274,667.06) untuk setiap preskripsi tidak sah dan AS$15,691 (RM63,729) untuk setiap tempahan meragukan yang tidak dilapor. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya