Kempen MY2.5 LZS bantu golongan terjejas - Utusan Malaysia

Kempen MY2.5 LZS bantu golongan terjejas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Dalam meneruskan usaha membantu golongan asnaf terjejas, Lembaga Zakat Selangor (LZS) menganjurkan Kempen MY2.5 sepanjang Disember ini.

Saipolyazan M. Yusop

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Saipolyazan M. Yusop berkata, pihaknya menyasarkan kutipan zakat sebanyak RM230juta bagi memenuhi keperluan agihan di Selangor menerusi kempen tersebut.

Menurutnya, kempen itu diadakan bertujuan bagi menyantuni asnaf di negeri ini termasuk mereka yang terkesan dengan Covid-19.

“Dengan slogan ‘Sedikit bagi anda, segalanya buat mereka’, kita mahu menggalakkan mereka yang berkemampuan mengeluarkan zakat bagi membantu golongan memerlukan.

“Inisiatif ini dilakukan bagi memudahkan masyarakat memahami dan menyedari ibadah zakat hanya memerlukan 2.5 peratus daripada harta yang mana jumlah ini telah ditetapkan untuk lapan golongan asnaf memerlukan.

“Kempen MY2.5 yang bermula 1 sehingga 31 Disember adalah bagi memastikan kelangsungan agihan zakat ketika ini. Nilai 2.5 itu mungkin sedikit bagi kita, namun dengan 2.5 itu telah menyantuni golongan asnaf dari pelbagai sudut,” katanya kepada pemberita di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, jelas Saipolyazan, untuk memudahkan urusan pembayaran zakat, pihaknya menggalakkan pembayar melakukannya menerusi aplikasi dalam talian seperti EZakatPay, perbankan internet dan e-Wallet.

Menurut beliau, sambutan terhadap pembayaran zakat menerusi aplikasi dalam talian amat memberangsangkan lebih-lebih lagi dalam situasi norma baharu yang dihadapi sekarang ini.

“Kutipan zakat fitrah pada tahun ini adalah sebanyak RM31.1 juta dan diperoleh menerusi pelbagai saluran pembayaran.

“Menerusi dalam talian sahaja kita memperoleh RM18juta dan ini menunjukkan pembayaran menggunakan aplikasi menjadi trend dalam kalangan pembayar zakat,” katanya.

Ditanya berkaitan operasi LZS sepanjang Disember ini, Saipolyazan menjelaskan, setakat ini, pihaknya membuka 23 cawangan LZS di seluruh Selangor bagi urusan pembayaran dan pemohonan zakat.

“Cawangan LZS dibuka 7 hari seminggu bagi memudahkan umat Islam menunaikan kewajipan berzakat sebelum 31 Disember. Orang ramai yang masih ingin hadir menunaikan zakat di cawangan, diingatkan untuk mematuhi SOP yang ditetapkan,” katanya.

Menerusi kempen MY2.5 juga, pengeluar zakat yang menunaikan zakat di LZS melalui pelbagai saluran pembayaran disediakan sepanjang Disember ini berpeluang menyertai peraduan Jom Bayar & Menang dan memenangi hadiah menarik.

Maklumat terkini berkenaan kempen MY2.5 akan sentiasa diwar-warkan di saluran rasmi LZS iaitu portal www.zakat selangor.com.my/my2point5 atau Facebook dan Instagram ZakatSelangor.

“Kita berharap, kempen MY2.5 ini terus mendapat sokongan masyarakat dan mereka segera berbuat demikian (membayar zakat),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya