KUALA LUMPUR: Inix Technologies Holding Bhd. melaporkan telah membayar 45 peratus deposit bagi memiliki kilang sarung tangan getah.
Menurut Inix dalam kenyataan, syarikat tersebut telah menandatangani memorandum perjanjian (MoA) dengan L&S Gloves Sdn. Bhd. (L&S Glove) untuk memiliki 51 peratus kepentingan dalam pengeluaran sarung tangan.
Katanya, L&S Gloves mempunyai dua barisan pengeluaran di kilangnya yang terletak di Beranang.
“Perjanjian ini adalah langkah terbaharu Inix bagi meneroka industri sarung tangan yang sedang berkembang pesat,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Walau bagaimanapun, Inix tidak memberitahu jumlah sebenar pembelian kepentingan dalam L&S Gloves dan juga deposit yang telah dibayar.
Dalam pada itu, Inix turut memberitahu telah melaksanakan perubahan kepemimpinan lembaga pengarah apabila melantik bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun sebagai Pengerusi syarikat itu yang baharu.
Syarikat itu berkata, pelantikan tersebut adalah untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan bilionair Macau, Wan Kuok Koi.
Mengulas mengenai pembelian kepentingan tersebut, Mohamad Fuzi berkata, lembaga pengarah telah melawat kilang L&S Gloves di Beranang, Khamis lalu.
“Selepas rundingan dijalankan, kedua-dua pihak bersetuju menandatangani MoA secara formal hari ini,” katanya. – UTUSAN