KUALA LUMPUR: Kerajaan melalui Suruhanjaya Tenaga (ST) bersetuju melanjutkan mekanisme Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) untuk Tenaga Nasional Berhad (TNB) sehingga Jun 2021.
Dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia semalam, TNB turut mengumumkan lanjutan satu tahun Tempoh Kawal Selia Kedua (RP2) untuk Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR) 2021.
Menurut agensi itu, bermula Januari 2021 sehingga 30 Jun 2021, kerajaan meluluskan rebat ICPT sebanyak 2 sen/kWj untuk semua pelanggan termasuk pelanggan domestik dengan penggunaan bulanan 300kWj dan ke bawah.
“Rebat ICPT ini adalah hasil pengurangan dalam kos bahan api sebenar untuk tempoh Julai sehingga Disember 2020, konsisten dengan pengurangan harga arang batu dan gas sebenar untuk sektor tenaga,” katanya.
Untuk Julai sehingga Disember tahun ini, purata harga arang batu di pasaran global lebih rendah pada AS$58.6 (RM238) setiap tan metrik berbanding penanda aras harga arang batu yang ditetapkan dalam tarif asas iaitu AS$75 (RM304.61) setiap tan metrik.
Sementara itu, harga gas sektor tenaga pula lebih rendah pada RM21/mmbtu berbanding penanda aras harga gas yang ditetapkan dalam tarif asas pada RM27.20/mmbtu.
Menurut TNB, ICPT adalah mekanisme yang diluluskan kerajaan dan diimplementasikan oleh ST sejak 1 Janurai 2014 sebagai sebahagian daripada reformasi kawal selia yang lebih luas, iaitu IBR.
Mekanisme ICPT membolehkan TNB menterjemahkan perubahan dalam kos bahan api dan penjanaan kepada tarif elektrik pengguna setiap enam bulan dan ia dilaksanakan mengikut Seksyen 26 Akta Bekalan Elektrik (Pindaan) 2015.
Sementara itu, berkenaan lanjutan RP2 IBR, purata tarif asas semasa pada 39.45 sen/kWj dan Jadual Tarif Elektrik dikekalkan dan akan terus boleh digunakan sehingga 31 Disember 2021.
Dengan itu, Tempoh Kawal Selia Ketiga (RP3) dianjak setahun untuk dimulakan 1 Januari 2022 dan berakhir 31 Disember 2024. – UTUSAN