Felda perlu RM3.1 bilion - Utusan Malaysia

Felda perlu RM3.1 bilion

Felda merancang untuk mengambil alih kepentingan dalam FGV.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bagi peroleh baki kepentingan dalam FGV

KUALA LUMPUR: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) perlu membelanjakan RM3.1 bilion bagi memperoleh keseluruhan kepentingan yang tidak dimilikinya dalam FGV Holdings Berhad berdasarkan kepada harga tawaran RM1.30 sesaham.

Unjuran tersebut dianggarkan penganalisis CGS-CIMB, Ivy Ng yang turut menyifatkan langkah pengambilalihan pegangan saham itu adalah lebih efektif dan murah berbanding pembatalan perjanjian pajakan tanah (LLA).

Menurut Ivy, FGV sebelum ini menganggarkan akan menerima pampasan antara RM3.5 hingga RM4 bilion tidak termasuk kilang sawit yang mungkin bernilai RM1 bilion secara pukal.

Beliau berkata, kejayaan Felda mengambil alih FGV sebahagian besarnya bergantung kepada kadar ambilan bagi tawaran am mandatori (MGO).

“Kami melihat tawaran ini bukanlah sesuatu yang menarik kepada pemegang saham FGV kerana pada harga tawaran RM1.30, ia adalah tiga peratus lebih murah berbanding harga sasaran kami dan hanya dua peratus premium berbanding harga terakhir FGV (RM1.27 kelmarin).

“Walaupun begitu, ia mungkin pilihan terbaik bagi pemegang saham FGV berbanding kemungkinan harga sahamnya terjejas teruk ekoran kebimba­ngan penamatan LLA dan terma pampasan.

“Urus niaga ini juga kemungkinan lebih memberi kelebihan kepada Felda. Namun begitu, ia memberi jalan keluar kepada pemegang saham FGV ketika ini,” katanya dalam nota penyelidikan semalam.

Felda merancang untuk mengambil alih kepentingan dalam FGV dengan nilai RM658 juta iaitu melibatkan pemilikan 6.1 peratus daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) bernilai RM289.2 juta dan 7.78 peratus kepentingan daripada Urusharta Jamaah Sdn. Bhd. bernilai RM368.8 juta.

Dalam notisnya mewakili Lembaga Pengarah Felda, Maybank Investment Bank berkata, agensi itu telah memandatangani perjanjian pembelian saham (CSPA) dengan kedua-dua syarikat tersebut kelmarin.

Notis tersebut turut memberitahu Felda dan pihak yang bertindak bersama (PAC) akan mempunyai kepentingan terkumpul melebihi 50 peratus setelah pengambilalihan itu selesai sekali gus mencetuskan tawaran ambil alih mandatori (MO).
Berdasarkan laman web FGV, Felda memiliki 21.24 peratus kepentingan dalam FGV diikuti Felda Asset Holdings Company Sdn. Bhd. yang memegang 12.42 peratus.

Urusharta Jamaah pula memperoleh 8.03 peratus dengan saham sebanyak 293,077,300; KWAP sebanyak 5.99 peratus dan kerajaan negeri Pahang sebanyak lima peratus. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya