KUALA LANGAT: Walaupun negara dilanda pandemik Covid-19, syarikat membuat kabel, Federal Power (Federal Power) Holdings Sdn. Bhd. tampil berani dengan menceburi bidang baharu iaitu penghasilan bateri solar.
Federal Power merupakan syarikat bumiputera tunggal yang menceburi bidang penghasilan bateri solar terletak di kawasan perindustrian Jenjarom, Kuala Langat itu bakal beroperasi sepenuhnya pada Januari tahun hadapan.
Pengerusinya, Datuk Seri Hisham Abdul Wahab berkata, kilang menghasilkan bateri solar itu diambil alih daripada pemilik syarikat dari negara China secara rasminya pada Jun lalu.
Menurutnya, syarikat dahulu menghasilkan produk bateri tetapi terdapat aktiviti peleburan plumbum, mengakibatkan lesen mereka ditarik dan keadaan kilang itu semakin tidak stabil dengan berlakunya Covid-19.
“Namun, alhamdulillah, hasil rundingan bersama pemilik kilang ini selama lima bulan membuahkan hasil apabila mereka bersetuju menjualnya kepada kita dengan harga berpatutan.
“Oleh demikian, kita mengambil alih syarikat ini tetapi dengan menghasilkan bateri solar yang tidak ada aktiviti peleburan plumbum seperti sebelum ini yang mengancam penduduk.
“Kita optimis untuk menceburi bidang penghasilan bateri solar ini kerana melihat terdapat banyak permintaan termasuk mengeksportnya ke luar negara seperti Amerika Syarikat dan India. Malah, lokasi yang agak strategik juga menarik minat kita kerana mempunyai mesin berteknologi tinggi dan sistem rawatan sisa air,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas hadir ke majlis mesra kilang itu bersama penduduk setempat yang turut dihadiri Ketua Pegawai Operasinya, Che Azizi Che Wil dan beberapa ketua kampung di kawasan tersebut.
Ditanya mengenai cabaran dalam mengambil alih syarikat yang pernah terpalit dengan kontroversi, Hisham menjelaskan, pihaknya akui akan berhadapan dengan perkara itu, namun yakin penduduk akan mendapat penerangan jelas daripada wakil mereka. – UTUSAN