KUALA LUMPUR: Walaupun diuji pandemik Covid-19 dan pelaksanaan moratorium bayaran balik pinjaman, Bank Rakyat masih di landasan yang tepat untuk mengekalkan prestasi bayaran dividennya pada tahun ini.
Pengerusinya, Datuk Abd. Rani Lebai Jaafar berkata, rekod Bank Rakyat menunjukkan bank koperasi itu berjaya memberi dividen berjumlah dua digit untuk 21 tahun.
“Sebagaimana kita tahu, ketika pandemik melanda semua bank memberi moratorium yang besar. Setiap moratorium yang kita beri mengurangkan keuntungan.
“Tiada siapa yang jangka (situasi) pandemik tahun ini. Setakat ini, Bank Rakyat masih di landasan yang betul. Ya, kita terkesan (dari segi) keuntungan. Selepas pengumuman akaun terakhir, selepas proses-prosesnya, kita akan umumkan berapa dividen,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang diadakan selepas Majlis Pelancaran Visi dan Misi Baharu Bank Rakyat yang diadakan secara maya, semalam.
Turut hadir dalam majlis tersebut, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Syed Abdul Aziz Syed Hassan.
Mengulas lanjut, Abd. Rani turut tidak menolak kemungkinan untuk penerbitan saham baharu Bank Rakyat, namun ia perlu melalui proses penilaian yang diperlukan terlebih dahulu.
“Modal dibenarkan Bank Rakyat adalah RM3 bilion, setakat 2019 kita dah keluarkan RM2.99 bilion. Memang ada permintaan, (namun) kita perlu lalui prosesnya.
“Pihak berwajib akan lihat adakah Bank Rakyat memerlukan modal itu? Setakat ini Bank Rakyat ada RM17 bilion rizab, kapasiti kita besar. Modal berbayar kita hampir 23 peratus, kita ada lebih lima juta pelanggan aktif,” katanya.
Dalam majlis tersebut, Bank Rakyat melancarkan visi dan misi baharunya yang akan memacu institusi itu mencapai aspirasi Bank Rakyat 2025 (BR25).
Visi baharu yang dilancarkan ialah ‘Bank Koperasi Islam Progresif No. 1 Di Malaysia’, manakala misi mereka adalah untuk ‘Memacu Kemakmuran Ekonomi Anggota, Pelanggan dan Negara Bangsa’.
Wan Junaidi dalam ucapannya berkata, visi dan misi yang dilancarkan Bank Rakyat adalah tepat pada masanya dalam persekitaran ekosistem sektor koperasi dan keusahawanan semasa.
“Dengan visi dan misinya, Bank Rakyat bersedia untuk lebih ke hadapan dalam memberi sokongan akses kewangan yang holistik kepada pelbagai segmen termasuk koperasi, anggota dan pelanggan bank serta negara bangsa yang menyeluruh,” katanya. – UTUSAN