KUALA LUMPUR: Di sebalik ketidaktentuan ekonomi ekoran penularan pandemik Covid-19, Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) iaitu syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) masih berupaya mengagihkan dividen yang baik sebanyak 4.25 sen seunit bagi dana utamanya, Amanah Saham Bumiputera (ASB).
Dividen bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 itu melibatkan agihan pendapatan berjumlah 3.50 sen seunit dan bonus sebanyak 0.75 sen seunit.
Pada masa sama, semua pemegang unit ASB turut menerima tambahan bonus khas atau ihsan sempena ulang tahun ASB ke-30 pada kadar 0.75 sen seunit untuk 30,000 unit pertama.
Dividen tersebut bagaimanapun kadar terendah pernah dicatatkan sejak ASB mula diperkenalkan pada 1990.
Menurut Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Dr. Zeti Aziz (gambar), pembayaran pengagihan pendapatan dan bonus itu melibatkan jumlah RM7.6 bilion kepada 10.2 juta pemegang unit sekali gus menjadikan jumlah terkumpul dana sebanyak RM159.6 bilion.
Zeti memberitahu, prestasi ASB kekal kompetitif berbanding instrumen pelaburan berisiko rendah yang lain, malah terus menjadi pilihan tepat bagi individu yang mempunyai profil risiko rendah dan melabur untuk jangka panjang.
Beliau berkata, strategi kepelbagaian portfolio ASB juga mencatatkan kemajuan tahun ini menerusi peningkatan pendedahan kepada ekuiti antarabangsa, ekuiti persendirian, hartanah dan pendapatan tetap dengan pelaburan dalam aset antarabangsa naik kepada 5.9 peratus berbanding 3.6 peratus tahun lalu.
“Dalam suasana turun naik pasaran global, strategi ini telah mula membuahkan hasil yang positif dengan bahagian sumbangan pendapatan kasar daripada ekuiti awam antarabangsa melonjak kepada 24.2 peratus tahun ini berbanding 6.3 peratus pada 2019.
“Di sebalik pasaran kewangan tidak stabil, ASB terus memberi pengagihan kompetitif sebanyak 4.25 sen per unit malah sempena sambutan ulang tahun ke-30 ASB, pembayaran ihsan sebanyak 0.75 sen seunit akan diberikan ke atas 30,000 unit pertama yang dimiliki pelabur,” katanya dalam majlis pengumuman dividen ASB secara maya semalam.
Pengiraan pengagihan pendapatan dan bonus ASB adalah berdasarkan baki purata minimum bulanan yang dimiliki sepanjang tahun kewangan dengan unit yang dilaburkan semula akan dikreditkan ke dalam akaun pemegang unit pada 1 Januari 2021.
Urus niaga ASB telah ditangguhkan buat sementara waktu sehingga 3 Januari 2021 bagi memudahkan pengiraan pengagihan pendapatan dengan pemegang unit boleh menyemak dan mengemas kini akaun mereka melalui www.myasnb.com.my atau aplikasi mudah alih myASNB, atau di mana-mana pejabat cawangan dan ejen ASNB di seluruh negara apabila urus niaga beroperasi semula pada 4 Januari 2021.
Dalam pada itu, ASNB turut mengisytiharkan jumlah pembayaran pendapatan dana harga berubah pertamanya, Amanah Saham Nasional (ASN) bagi tempoh kewangan berakhir 31 Disember 2020 sebanyak 2.02 sen dengan memberikan hasil dividen 3.18 peratus berdasarkan jangkaan nilai aset bersih (NAB) pada 31 Disember 2020.
Jumlah pembayaran pengagihan pendapatan tersebut adalah sebanyak RM36.6 juta.
Pembayaran ASN akan memberi manfaat kepada 1.21 juta pemegang unit dengan jumlah pelaburan melebihi 1.8 bilion unit dengan setakat 30 November lalu, dana tersebut telah mencatatkan pendapatan bersih sebanyak RM44.3 juta untuk 11 bulan pertama tahun kewangannya. – UTUSAN