Dana tambahan RM1 bilion - Utusan Malaysia

Dana tambahan RM1 bilion

Dana Kemudahan Teknologi Tinggi-Aspirasi Pelaburan Nasional diwujudkan bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana berteknologi tinggi dan berorientasikan inovasi yang tejejas akibat Covid-19. –UTUSAN/ SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penubuhan dana Kemudahan Teknologi Tinggi – Aspirasi Pelaburan Nasional (HTF-NIA) adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memberikan bantuan tambahan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas akibat Covid-19.

Menurut Bank Negara Malaysia (BNM), inisiatif yang diumumkan dalam ucapan Belanjawan 2021 oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz itu bertujuan membantu PKS berteknologi tinggi dan berorientasikan inovasi yang terjejas untuk pulih dan menggiatkan semula kapasiti inovasi negara.

“Langkah ini penting bagi memperkukuh kedudukan daya saing Malaysia dalam rantaian nilai global, memelihara ekosistem rantaian penawaran dan melindungi pekerjaan berkemahiran tinggi,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Dana berjumlah RM1 bilion itu menawarkan pembiayaan sehingga RM1 juta kepada PKS yang layak untuk tujuan modal kerja serta pembiayaan sehingga RM5 juta untuk membiayai modal perbelanjaan atau kombinasi modal kerja dan modal perbelanjaan untuk tempoh sehingga tujuh tahun.

Selain itu, ia ditawarkan pada kadar faedah pembiayaan sehingga 3.5 peratus setahun untuk pembiayaan tanpa jaminan atau sehingga lima peratus setahun termasuk fi jaminan dengan perlindungan jaminan daripada Credit Gua­rantee Corporation Malaysia Berhad (CGC).

Menurut BNM, PKS yang layak adalah dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan berteknologi tinggi yang paling sejajar dengan matlamat ingin dicapai pembangunan jangka panjang strategik kebangsaan seperti termaktub dalam Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA).

“PKS yang layak juga termasuk peserta projek PKS dalam program penting kerajaan yang terlibat dalam penyelidikan, pembangunan dan inovasi untuk teknologi yang diberi ke­utamaan dalam rangka tindakan kebangsaan daripada teknologi berkaitan Revolusi Industri 4.0 (RI 4.0), teknologi hijau dan bioteknologi.

“Ia bagi memastikan ke­sinambungan dan penyiapan projek yang sedang berjalan,” katanya.

Dana kemudahan tersebut akan disediakan mulai 15 Di­sember 2020 sehingga 31 Di­sember 2021 atau setelah peruntukan digunakan sepenuhnya.

BNM menasihatkan PKS yang berminat untuk memohon terus kepada institusi kewangan peserta yang terdiri daripada bank-bank pembangunan, bank-bank Islam dan institusi kewangan pembangunan yang dikawal selia BNM menerusi laman sesawang mereka atau hadir ke cawangan institusi kewangan peserta.

Maklumat terperinci tentang dana tersebut juga boleh didapati di laman web www.bnm.gov.my/covid19. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya