KUALA LUMPUR: Co-opbank Pertama (CBP) menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) bersama Media Prima Omnia bagi menawarkan pakej pengiklanan kepada para pelanggannya.
Melalui kerjasama itu, pelanggan sektor koperasi dan korporat CBP akan ditawarkan pakej pengiklanan dengan harga serendah RM1,000.
Pengerusi CBP, Kamari Zaman Juhari berkata, MoU itu bertujuan meningkatkan akses bank kepada pelanggan baharu terutama dalam segmen perusahaan kecil dan sederhana (PKS), selain menyediakan kemudahan pembiayaan kepada mereka.
“CBP yakin kerjasama ini akan meningkatkan pengeluaran pembiayaan sektor koperasi dan korporat CBP selain membantu peminjam memasarkan produk dan perkhidmatan mereka.
“Manfaat lain yang kami dapat berikan kepada pelanggan melalui kerjasama ini ialah, pelanggan akan mendapat akses kepada maklumat mengenai jenis-jenis produk yang ditawarkan oleh CBP,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam majlis menandatangani memorandum berkenaan di Ibu pejabat CBP di sini semalam. Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif CBP, Mohd. Nor Abd. Razak dan Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Omnia, Datuk Michael Chan.
Kamari berkata, saiz pembiayaan CBP ketika ini berjumlah RM3.8 bilion, manakala deposit sebanyak RM4.4 bilion.
“Tahun ini, kami telah meluluskan pembiayaan berjumlah RM79 juta untuk sektor korporat dan RM75 juta lagi buat sektor koperasi,” katanya.
Dalam pada itu, Chan berkata, kerjasama itu membantu CBP memasarkan produk dan berkhidmat kepada pelanggan, pada masa sama, Media Prima Omnia juga dapat mengembangkan asas pelanggannya. – UTUSAN