DALLAS: Pesawat Boeing 737 MAX melakukan penerbangan sulung semalam, dengan membawa bersama kira-kira 90 petugas media dan kru, untuk membuktikan ia selamat terbang semula selepas 20 bulan direhatkan.
Yakin akan keselamatan pesawat itu, syarikat penerbangan bajet Eropah, Ryanair dilaporkan akan membuat pesanan besar sebanyak 75 pesawat berkenaan, menurut sumber.
Penerbangan semalam membabitkan perjalanan selama 45 minit dari Dallas, Texas ke Tulsa, Oklahoma.
Ia berlaku sebelum penerbangan penumpang komersial pertama MAX dijadual pada 29 Disember ini. Penerbangan itu bertujuan mengurang dan meredakan kebimbangan mengenai aspek keselamatan selepas dua insiden mengorbankan 346 penumpang.
Sebelum berlepas, Kapten Pete Gamble memberitahu penumpang, sejarah penerbangan dibina berdasarkan rantai keselamatan.
“Apabila rantai keselamatan itu terputus, kita semua dalam industri ini harus memperbaiki dan mengembalikannya semula,” katanya.
Suasana dalam penerbangan semalam tenang dengan penumpang asyik berbual sesama mereka sebelum mendarat, dan disambut dengan tepukan tanda kejayaan.
Semua penumpang termasuk pramugari dan pekerja syarikat penerbangan American Airlines yang turut menyertai penerbangan itu, memakai pelitup muka kerana langkah-langkah pencegahan pandemik Covid-19.
Kembalinya MAX merupakan perkara yang sangat penting buat reputasi dan kewangan Boeing yang telah terkesan teruk akibat pembekuan penghantaran pesawat itu serta krisis koronavirus.
Syarikat penerbangan dan penyewaan telah menghabiskan ratusan bilion dolar untuk membeli 737 yang telah diperbaiki dan dipertingkatkan kebolehannya.
Bagaimanapun, Boeing telah bersiap sedia untuk mendapat publisiti yang lebih hebat dengan mengendalikan ‘ruang situasi’ selama 24 jam untuk memantau setiap penerbangan MAX di seluruh dunia.
“Kami akan terus bekerjasama dengan pengawal selia global dan pelanggan untuk mengembalikan armada kepada perkhidmatan komersial dengan selamat,” jelas jurucakap Boeing.
Namun, ahli keluarga mangsa nahas pesawat terbabit memprotes penerbangan tersebut dengan menyifatkannya terlalu awal kerana laparon siasatan akhir mengenai kemalangan MAX di Ethiopia belum dikeluarkan.
Lantaran itu, Boeing melewatkan rancangan asalnya untuk menerbangkan semula pesawat berkenaan kerana krisis tersebut berlarutan lebih lama daripada jangkaan. – AGENSI