KUALA LUMPUR: Bjak.my membantu pemilik kereta di Malaysia menjimatkan lebih RM90 juta melalui perkhidmatan perbandingan insurans.
Menurut syarikat itu, setakat ini, lebih tiga juta pengguna telah mendaftar di platform Bjak.my dan berjaya menjimatkan wang antara RM50 sehingga RM450 bagi memperbaharui insurans kereta.
Ketua Operasinya, Fatin Izzati Masturi berkata, ditubuhkan pada 2019, Bjak.my berjaya menarik jutaan pemilik kenderaan persendirian menggunakan perkhidmatan itu dengan melakukan proses banding dan beli insurans motor serta kereta secara dalam talian, menjadikan ia sebagai platform perbandingan insurans terbesar di Malaysia.
Katanya, Bjak.my memberi ruang kepada pemilik kereta untuk membuat perbandingan dengan lebih 10 syarikat insurans dan takaful dalam masa lima minit sahaja.
Antara syarikat-syarikat insurans yang disediakan di platform itu adalah Takaful Malaysia, Pacific & Orient, Liberty, Tokio Marine, Zurich Takaful, MSIG dan banyak lagi.
“Penjimatan itu dihasilkan melalui perbandingan antara syarikat insurans yang menyediakan pelbagai variasi premium sehingga 40 peratus. Ia kesan daripada liberalisasi tarif insurans motor yang diumumkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada 2017.
“Dengan perkhidmatan perbandingan insurans secara atas talian yang disediakan, pemilik kereta kini boleh memilih pakej dari lebih 10 syarikat insurans dalam beberapa minit sahaja, di rumah mereka,” katanya.
Fatin Izzati berkata, setiap hari, pihaknya menerima banyak maklum balas positif daripada para pelanggan melalui media sosial termasuk Facebook mengenai perkhidmatan ditawarkan.
“Kebanyakannya memaklumkan bagaimana kami telah membantu mereka menjimatkan wang dan masa, malah ramai juga pelanggan yang gembira dengan perkhidmatan diberikan oleh Bjak.my,” katanya. – UTUSAN