KUALA LUMPUR: BigPay memperluas fungsinya dengan memperkenalkan ciri pembayaran bil baharu yang membolehkan pengguna membayar bil daripada lebih 20 syarikat yang turut merangkumi syarikat telekomunikasi serta pembekal tenaga.
Malah, ciri baharu itu juga membolehkan pengguna menetapkan peringatan pembayaran, menyimpan maklumat transaksi dan membahagikan bil dengan mudah dalam satu aplikasi.
Pengasas bersama BigPay, Salim Dhanani berkata, pelacaran ciri baharu tersebut membawa syarikat itu selangkah lebih dekat untuk menjadi penyelesaian sehenti bagi keperluan pengguna.
“Tahun 2021 bakal menjadi tahun yang mengujakan untuk BigPay kerana kami akan melancarkan produk dan ciri-ciri baharu seperti pinjaman digital, insurans dan pengurusan kekayaan.
“Kami tidak sabar untuk menawarkan semua ini kepada komuniti kami yang semakin berkembang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Antara syarikat yang tersedia untuk pembayaran melalui aplikasi itu ialah Astro, Celcom, Air Selangor, Sabah Electricity, Sarawak Energy Berhad dan beberapa syarikat telekomunikasi, pembekal internet, air dan elektrik yang lain. – UTUSAN