Bank Islam bakal tersenarai - Utusan Malaysia

Bank Islam bakal tersenarai

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bank Islam Malaysia Berhad bakal muncul sebagai satu-satunya institusi kewangan Islam lengkap yang tersenarai di pasaran modal rantau ini.

Hal demikian selepas syarikat induknya, BIMB Holdings Berhad (BHB) mengumumkan akan meneruskan usaha penstrukturan semula kumpulan sekali gus memindahkan status penyenaraiannya kepada Bank Islam.

Menurut BHB dalam kenya­taan, proses penstrukturan semula itu juga akan dapat membuka nilai signifikan kepada pemegang sahamnya.

BHB turut mengumumkan Maybank Investment Bank Berhad akan menjadi penasihat utama bagi cadangan pelaksanaan tersebut.

“BHB telah mendapat persetujuan daripada Menteri Kewangan dan Bank Negara Malaysia (BNM) berhubung cadangan penyusunan semula dalaman dan agihan serta pembayaran balik modal.

“Setelah muktamad cadangan pelaksanaan tersebut, status penyenaraian BHB akan dipindahkan ke Bank Islam yang akan muncul sebagai satu-satunya institusi kewangan Islam lengkap yang tersenarai di rantau ini sekali gus meningkatkan kedudukan korporatnya,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Tambah BHB, penyenaraian itu juga akan membolehkan Bank Islam memperkukuh kedudukannya dalam pasaran kewangan dan pasaran modal Islam dengan lebih baik.

“Bank Islam juga mampu memanfaatkan pertumbuhannya dalam usaha mengembangkan asas pelanggan,” jelas BHB dalam kenyataan itu lagi.

April lalu, Ketua Pegawai Eksekutif BHB, Mohd. Muazzam Mohamed dilaporkan berkata, pemindahan status penyenaraian itu sepatutnya dilaksanakan Ogos lalu tetapi terpaksa ditangguhkan hingga suku akhir tahun ini atau suku pertama 2021 akibat pandemik Covid-19.

BHB telah mengemukakan beberapa cadangan penstrukturannya tahun lalu dengan langkah pemindahan status penyenaraian ini telah dilakukan empat tahun lalu yang kemungkinan melibatkan pertukaran saham.

Ia juga bakal membabitkan lima komponen penstrukturan termasuk cadangan penempatan saham baharu bagi mengumpul dana bernilai RM800 juta.

Hasil pengumpulan dana tersebut dan aliran tunai dalaman akan digunakan untuk penyelesaian penuh baki suku pegangan saham yang dipegang Lembaga Tabung Haji (TH).

Bank Islam pernah disenaraikan di Bursa Malaysia pada 1992 sebelum BHB yang diwujudkan pada 1997, menggantikan Bank Islam sebagai syarikat pegangan kumpulan.

Dalam sesi dagangan semalam, BHB ditutup tinggi apabila sahamnya melonjak 7.32 peratus atau 29 sen kepada RM4.25 dengan permodalan pasaran bernilai RM7.03 bilion.

Keuntungan bersih BHB bagi suku ketiga berakhir 30 September susut 11.25 peratus kepada RM135.81 juta daripada RM153.03 juta pada suku sebelumnya, sebahagian besar disebabkan peruntukan lebih tinggi dalam rosot nilai dan perbelanjaan.

Pendapatan syarikat itu ba­gaimanapun meningkat 16.36 peratus kepada RM1.33 bilion berbanding RM1.14 bilion dalam suku kedua tahun kewangan 2020. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN