KUALA LUMPUR: Petroliam Nasional Berhad (Petronas) masih mempunyai asas yang kuat dan mampu menghadapi ketidaktentuan serta kejutan dalam pasaran.
Syarikat minyak dan gas negara itu berkata, ia secara konsisten mengekalkan dasar kewangan konservatif, disiplin modal yang ketat dan memberi keutamaan kepada pengoptimuman kos.
“Petronas juga mampu mengekalkan profil kewangan yang kukuh walaupun berhadapan kemerosotan ekonomi dan gangguan berikutan pandemik Covid-19,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Petronas berkata demikian sebagai respons kepada semakan turun penarafan Penarafan Kemungkiran Penerbit (IDR) Mata Wang Asing dan Tempatan Jangka Panjang Malaysia daripada A- kepada BBB+ dengan unjuran stabil.
Semakan penarafan tersebut berikutan semakan sama yang dibuat ke atas penarafan Malaysia daripada A- kepada BBB+ pada 4 Disember lalu.
Menurut Petronas, di bawah Kriteria Penarafan Berkaitan Kerajaan oleh Fitch, penarafan Petronas terus dihadkan tidak melebihi penarafan Malaysia selagi syarikat itu mampu menjana lebih daripada 10 peratus daripada pendapatan kerajaan.
“Petronas telah mencatatkan lebih 15 peratus daripada pendapatan Malaysia untuk lima tahun kebelakangan ini,” katanya.
Sementara itu, Profil Kredit Kendiri (SCP) syarikat itu yang diperiksa Fitch masih kekal pada ‘aa-’ sejak 2016, yang mana empat tahap lebih tinggi berbanding Malaysia.
“SCP ‘aa-’ dikekalkan berikutan profil perniagaan dan kewangan Petronas yang kuat. Petronas berada dalam kedudukan tunai bersih sejak 2006 dan mempunyai keumpilan menyeluruh serta nisbah liputan faedah tertinggi dalam kalangan syarikat ‘AA-’ setara.
“Penarafan SCP itu juga menggambarkan profil perniagaan Petronas yang kukuh, kedudukannya sebagai pengeluar minyak dan gas berskala besar dan terintegrasi penuh selain operasi huluan dan hilirannya yang pelbagai,” katanya.
Ini merupakan kali pertama Petronas diturunkan taraf oleh Fitch sejak Krisis Kewangan Asia pada 1997/1998.
Dalam kenyataannya semalam, Fitch turut menetapkan IDR mata wang asing jangka pendek Petronas pada F1 dan menurunkan penarafan syarikat itu untuk hutang tak bercagar kanan mata wang asing, hutang yang dikeluarkan Petronal Capital Ltd. dan hutang yang dijamin oleh Petronas daripada A- kepada BBB+. – UTUSAN