WASHINGTON: Kerajaan Amerika Syarikat semalam membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah daerah yang menyekat Jabatan Perdagangan daripada membuat sekatan ke atas aplikasi video pendek milik China, TikTok.
Amerika Syarikat (AS) dilaporkan akan melarang penggunaan aplikasi itu di negara terbabit.
Pentadbiran Presiden Donald Trump berkata, penggunaan TikTok mempunyai risiko keselamatan nasional kerana mendakwa, data peribadi pengguna di negara terbabit dapat diperolehi oleh pemerintah China.
Namun, TikTok yang mempunyai lebih daripada 100 juta pengguna di AS menolak dakwaan tersebut.
Pada 7 Disember lalu, Hakim Mahkamah Daerah di Washington, Carl Nicholas, mengeluarkan perintah menghalang Jabatan Perdagangan melarang data AS digunakan untuk perkhidmatan TikTok.
“Perkhidmatan penghantaran kandungan dan transaksi teknikal lain oleh ByteDance akan menghalang penggunaan TikTok di AS. Perintah Nicholas itu dibawa ke Mahkamah Rayuan di Columbia,” kata pegawai kerajaan.
Rayuan itu turut dibuat ke atas keputusan Hakim Daerah Pennsylvania, Wendy Beetlestone yang membuat keputusan sama pada Oktober lalu.
Pegawai memberitahu Reuters bahawa tidak mungkin masalah TikTok di AS dapat diselesaikan sebelum Trump meninggalkan pejabatnya pada 20 Januari depan.
“Ada kemungkinan perjanjian lain akan dibuat pada waktu itu,” tambah pegawai berkenaan.
Pada September lalu, Nichols turut mengeluarkan perintah menyekat Jabatan Perdagangan daripada meminta Apple Inc. dan Google Alphabet mengeluarkan aplikasi TikTok daripada premis mereka.
Awal bulan ini, Pentadbiran Trump memutuskan untuk tidak melanjutkan perintah yang dikeluarkan oleh Presiden Trump pada Ogos lalu supaya pemilik TikTok, ByteDance mengalihkan asetnya kepada syarikat tempatan.
Keputusan itu memberi kuasa kepada Jabatan Kehakiman untuk menguatkuasakannya selepas tempoh berakhir.
Peguam Negara, Jeffrey Rosen ketika ditemu bual Reuters bagaimanapun enggan mengulas sama ada Jabatan Kehakiman akan menguatkuasakan perintah tersebut.
Sementara itu, ByteDance yang menerima tekanan daripada kerajaan AS dilaporkan telah berbincang selama berbulan-bulan bersama Walmart Inc dan Oracle Corp untuk memindahkan aset TikTok kepada entiti baharu. – AGENSI