Apple keluarkan kereta 2024? - Utusan Malaysia

Apple keluarkan kereta 2024?

Apple telah memulakan usaha automotifnya sejak tahun 2014 menerusi Project Titan dan dilaporkan sedang berada dalam landasan tepat mengeluarkan kenderaan pada tahun 2024. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAN FRANCISCO: Apple Inc. dilaporkan sedang berada dalam landasan tepat untuk mengeluarkan teknologi kenderaan pandu sendiri dengan menyasarkan tahun 2024 untuk menghasilkan kenderaan penumpang yang mungkin merangkumi teknologi bateri keluarannya sendiri.

Menurut sumber kepada Reuters, pengeluar telefon pintar iPhone itu telah memulakan usaha automotifnya, iaitu Project Titan sejak tahun 2014 apabila mereka mula membuat reka bentuk kenderaan.

Proses tersebut bagaimanapun terpaksa dihentikan seketika sebelum seorang kakitangan Apple yang pernah bekerja di Tesla Inc., Doug Field kembali mengawasi projek tersebut pada tahun 2018 dan memberhentikan 190 orang daripada pasukan itu pada tahun 2019.

Sumber yang terlibat dengan usaha itu berkata, sejak itu Apple telah menunjukkan kemajuan sehingga mereka ingin membina kenderaan untuk pengguna.

“Matlamat Apple ialah membina kenderaan peribadi yang berbeza dengan pesaing seperti Waymo kepunyaan Alphabet Inc., yang telah membina teksi robotik untuk membawa penumpang tanpa pemandu,” katanya.

Menurut sumber yang telah melihat reka bentuk bateri yang dicipta Apple, strateginya ialah untuk membina bateri baharu yang harganya lebih murah berbanding bateri biasa selain boleh meningkatkan jangkauan kenderaannya.

Bagaimanapun, Apple enggan mengulas mengenai rancangan masa hadapan produknya itu.

Walaupun Apple merupakan syarikat yang mengeluarkan ratusan juta produk elektronik setiap tahun, namun pembangunan kereta akan memberi cabaran rantaian bekalan buat Apple.

“Mungkin Apple memiliki daya dan sumber untuk melakukan perkara tersebut tetapi pada masa yang sama ia bukan seperti mencipta telefon bimbit,” jelas orang yang bekerja dalam Project Titan itu.

Walaupun masih belum jelas siapa yang akan memasang kereta jenama Apple itu, sumber memberitahu mereka berharap syarikat itu akan bergantung kepada rakan pembuatan.

Namun begitu, rancangan Apple mungkin mengalami kelewatan sehingga tahun 2025 atau lebih lewat susulan pandemik yang melanda dunia.

Saham Tesla berakhir 6.5 peratus lebih rendah pada hari Isnin selepas debut mereka S&P 500 pada hari Isnin manakala, saham Apple berakhir 1.24 peratus lebih tinggi selepas berita itu.

Sumber yang mengetahui rancangan syarikat itu memberitahu Apple memutuskan untuk bekerjasama dengan rakan kongsi luar termasuk melibatkan elemen sistem, termasuk sensor lidar.

Ujarnya, kereta tersebut mungkin akan mempunyai beberapa sensor tersebut yang berfungsi sebagai pengimbas jarak yang berbeza.

Reuters melaporkan bahawa Apple telah berbincang dengan pembekal lidar tetapi pihaknya belum memberi kata putus.

Bagi teknologi bateri kereta pula, Apple merancang untuk menggunakan reka bentuk monocell. Syarikat tersebut juga sedang mengkaji kimia lithium iron phosphate yang tidak akan menjadi terlalu panas dan lebih selamat daripada bateri jenis lithium ion yang lain.

“Teknologi Apple kali ini sangat luar biasa seperti pertama kali kita melihat Iphone,” jelas sumber. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya