KUALA LUMPUR: Syarikat pemaju perumahan, Al Ansar PLT menyasarkan jualan sebanyak 60 unit banglo bernilai RM10 pada tahun ini.
Pengerusinya, Datuk Seri Muhamad Khanafi Husin berkata, sehingga September lalu, syarikat merekodkan jualan yang memberangsangkan mencecah RM8.4 juta melibatkan pembinaan sebanyak 54 unit banglo.
Beliau berkata, kesemua unit banglo berkenaan telah diserahkan kuncinya kepada pemilik, sementara selebihnya sedang dan akan dibina.
“Berbaki kurang sebulan ini, kami sasarkan tujuh unit banglo lagi dengan nilai lebih kurang RM1.6 juta melalui strategi memperkenalkan galeri maya IBS yang menjanjikan ganjaran lebih besar kepada bakal pelanggan,” katanya dalam kenyataan semalam.
Menurut Muhamad Khanafi, sebelum ini pelanggan memilih datang ke galeri secara fizikal untuk melihat sendiri rekaan dan sesi konsultansi secara bersemuka.
Namun, katanya, dengan situasi norma baharu di mana orang ramai memilih untuk lebih lama berada di rumah, syarikat berharap kewujudan galeri maya IBS yang dilancarkan kelmarin relevan dan tepat pada masanya.
“Kami percaya teknologi maya ini meningkatkan hubungan dengan pelanggan dan mewujudkan peluang kepada mereka melihat sendiri pembinaan kediaman yang sepenuhnya menggunakan inovasi Sistem Binaan Berindustri (IBS), tanpa perlu berada di tapak pembinaan fizikal, malah segala maklumat lengkap berkaitan berada di hujung jari,” katanya.
Muhamad Khanafi berkata, melayari galeri maya IBS, pengunjung seolah-olah berada di dalam rumah yang bakal dibina dan memberi mereka peluang memilih pelbagai pakej serta diskaun yang ditawarkan.
“Ia pengalaman kunjungan yang menarik kerana mempunyai ciri pengembaraan maya dengan pandangan sisi 360 darjah dilengkapi kaunter pertanyaan di bahagian lobi, promosi dan kempen yang sedang berlangsung, pelan lantai, rekaan dan jenis banglo yang ditawarkan,” jelasnya.
Bersempena pelancaran galeri maya itu, Al Ansar PLT mengadakan kempen jualan sehingga Sabtu ini dengan pelbagai tawaran menarik antaranya diskaun sehingga RM18,000 kos pembinaan banglo, percuma kelengkapan rumah bernilai RM15,000 serta kelengkapan rumah seperti lampu, kipas, kabinet dapur dan televisyen. – UTUSAN